suria

Aiman Tino terima rawatan akibat sakit dalam perut

Aiman Tino dimasukkan ke sebuah hospital swasta dekat Rawang selepas mengalami sakit dalam perut dan tonsil bengkak.

PETALING JAYA: Penyanyi Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Rawang pada petang Selasa selepas mengalami sakit dalam perut selain tonsil bengkak.

Ibu Aiman, Hazelina Mat Jalil, 42, memberitahu anaknya itu masih dalam pemantauan doktor sejak dimasukkan ke hospital dan akan menjalani pemeriksaan dalam perut pada pagi Rabu.

"Aiman kini dalam keadaan stabil. Dia dimasukkan ke hospital petang tadi selepas mengadu sakit perut dan ada tonsil di bahagian tekaknya.

"Badannya juga panas namun buat masa ini doktor masih memantau keadaannya dan Insya-Allah esok dia akan menjalani pemeriksaan perut.

Aiman akan menjalani pemeriksaan perut pada Rabu.

“Buat masa sekarang, belum tahu lagi penyakit sebenar yang dihadapinya... Apa-apa pun kena tunggu keputusan selepas pemeriksaan,” kata Hazelina ketika dihubungi mStar Online.

Foto Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 20, yang sedang terlantar sakit mula tersebar selepas ada pihak memuat naik gambarnya di laman sosial.

Dalam pada itu, Hazelina berharap orang ramai dapat mendoakan Aiman agar segera sembuh dan tidak mengalami sebarang penyakit yang serius.

“Saya harap semua orang doakan kesihatan dan keadaan Aiman. Doakan supaya dia cepat sembuh dan dijauhkan daripada sebarang penyakit yang serius,” ujarnya.

Aiman Tino

Artikel Lain