KUALA LUMPUR: Tindakan komposer Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah yang enggan berkongsi masalah kesihatannya menjadi penyebab ramai pihak tidak menyangka dia sebenarnya kurang sihat. Anak sulungnya Siti Syafrina Suhaimi, 32, berkata, Pak Ngah menghidap penyakit darah tinggi, diabetes, jantung serta paru-paru berair. “Abah memang kerap dimasukkan ke hospital sejak beberapa bulan ini jika berasa tidak sedap badan, dia akan terus minta dibawa ke hospital. Tambahan pula dia menghidapi penyakit ‘tiga serangkai’ iaitu darah tinggi, kencing manis, jantung dan terbaru masalah paru-paru berair. ARTIKEL BERKAITAN: Pak Ngah meninggal dunia di Batam, Indonesia “Bagaimanapun Allahyarham enggan keadaan kesihatannya diketahui ramai,” katanya kepada mStar Online. Siti Syafrina ditemui di Masjid Jamek, Kampung Baru di sini pada Rabu ketika jenazah tiba dari Batam, Indonesia untuk disembahyangkan. Semoga Allah memberi rahmat kepada roh Allahyarham Suhaimi Mohd Zain. Jenazah dibawa menaiki bot daripada Batam kira-kira jam 8 pagi dan tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor dua jam kemudian. Jenazah seterusnya dibawa ke Kuala Lumpur dan tiba di Masjid Jamek Kampung Baru pukul 3 petang, Rabu. Pak Ngah meninggal dunia kira-kira pukul 3.05 petang Selasa selepas beberapa hari tidak sedarkan diri ketika di rawat di sebuat hospital di Batam. Dia disahkan mengalami kegagalan jantung. Pak Ngah bersama keluarganya berkunjung ke Tanjung Pinang di Batam sejak 21 September lalu untuk bercuti dan meraikan kenalannya yang mendapat cahaya mata. Dalam pada itu Siti Syafrina berkata, Allahyarham dikatakan pertama kali meluahkan hasrat untuk menyambut ulang tahun kelahirannya ke 60 tahun yang sepatutnya diraikan pada Rabu (26 September 2018) namun dia pergi buat selama-lamanya sehari lebih awal. “Abah pertama kali berhasrat untuk menyambut ulang tahun kelahirannya. Namun Allah lebih menyayanginya, dia pergi sebelum sempat meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-60,” katanya. Gambar kenangan Pak Ngah (kiri) ketika melawat Zaibo (tengah) pada awal September lalu. Dalam pada itu kira-kira 500 ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya. Antara rakan artis yang kelihatan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jalaluddin Hassan, Syura Badron, Datuk M. Nasir dan Datuk Nassier Wahab. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang kira-kira pukul 5.20 petang. Hujan lebat mengiringi pengebumiannya. Pak Ngah meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan sepasang cahaya mata. Dia mencipta sejarah apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu 1999.