suria

Marah betul Naz, ustaz ‘syaitan’ liwat pelajar

Naz terkilan dengan isu ini dan meminta pusat tahfiz mendaftarkan pusat pengajian mereka. Foto Instagram @nazrudinrahman

PENGACARA Nazrudin Habibur Rahman atau Naz terkilan apabila membaca berita mengenai pelajar tahfiz diliwat oleh pengetua di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Naz, 39, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah pusat pengajian agama dan berpendapat individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu adalah syaitan bertopengkan manusia.

"Saya betul-betul terkilan dengan apa yang berlaku, ibu-bapa hantar anak untuk jadi pakar agama tapi lain pula yang jadi. Seorang mudir atau guru agama harus berakhlak tinggi tapi rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia.

"Mereka ini patut diberi hukuman setimpal dengan apa yang mereka lakukan, apa erti serban yang dipakai dan bercakap tentang agama tapi melakukan benda tidak bermoral begini," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan ini ada berkongsi luahan mengenai isu tersebut di Twitter miliknya dan diulang kicau lebih 3,000 kali.

Luahan Naz mendapat perhatian pengguna laman Twitter.

Pada Ahad, seorang guru agama yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Guru agama itu dikatakan melakukan perbuatan terkutuk melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.

Sementara itu, Naz turut bersetuju dengan tindakan kerajaan yang ingin menutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar sebelum 31 Disember ini.

Dalam masa yang sama, dia turut mempersoalkan sikap pengusaha pusat tahfiz yang enggan mendaftarkan institusi pengajian mereka.

"Kalau nak tahu di Malaysia ada 1,238 pusat tahfiz, namun tidak berdaftar hanya 328 sahaja, kenapa susah sangat mereka nak mendaftar?

Berita pengetua meliwat pelajar menjadi perbualan hangat masyarakat.

"Adakah kerana mereka takut dipantau, malas nak memohon, susah nak dapat kebenaran atau bimbang silibus pengajian mereka disemak, itu yang saya tertanya-tanya.

"Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mahu menutup pusat tahfiz yang tidak mengikut piawaian dan tidak berdaftar. Ini semua demi masa depan pelajar dan anak-anak kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Naz berkata disebabkan kelantangannya menyentuh mengenai isu ini, dia turut menerima kecaman pengguna laman Twitter.

"Ada yang tuduh saya muslim liberal sebab nak tutup pusat tahfiz, tapi mereka tak faham maksud saya merujuk kepada institusi yang tidak berdaftar.

"Jangan cuba tegakkan benang yang basah, jika benda itu salah, tidak kiralah siapa pun yang melakukan harus diambil tindakan, takkan sebab yang buat benda terkutuk ini adalah seorang ustaz yang berserban, kita nak diam," katanya.

Nazrudin Rahman

Artikel Lain