suria

Foto dalam kereta Mercedes undang kecaman, Ruhainies tak perlu lelaki kaya

Ruhainies tidak pandang harta kekayaan namun keutamaanya adalah personaliti seorang lelaki itu.

PELAKON Ruhainies menegaskan dia bukan seorang perempuan pemalas yang hanya tertarik kepada lelaki kaya seperti yang diperkatakan.

Ruhainies, 26, berkata dia bekerja keras mencari rezeki untuk keluarganya tanpa perlu mendapat kemewahan daripada seorang lelaki.

"Saya bukan jenis perempuan seperti yang diperkatakan netizen itu. Dari awal saya masuk bidang seni ini, saya bekerja keras sendiri mencari rezeki untuk keluarga.

"Selama ini pun hasil kerja saya hanya untuk keluarga sahaja. Saya tak perlu mana-mana lelaki kaya semata-mata untuk hidup dalam kemewahan," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sikapnya membuatkan hati saya terbuka..." - Ruhainies


Ruhainies berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang dimahukan.

Ruhainies diminta mengulas mengenai komen netizen yang melabelkannya sebagai pemalas dan hanya tertarik dengan lelaki kaya.

Ia berikutan tindakan Ruhainies berkongsi foto bersama teman lelaki yang memandu kereta mewah.

Tambah Ruhainies, dia tertarik dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Mr E bukan disebabkan kaya tetapi disebabkan lelaki itu mempunyai personaliti yang baik.

"Kaya itu satu bonus tapi bukanlah saya mahukan seseorang itu hanya disebabkan dia kaya ada duit sahaja.

"Kalau kaya tapi kaki perempuan sana sini dan berkelakuan tidak elok nak buat apa kan? Yang paling utama, diri sebenar lelaki itu.

"Saya tertarik dengan kekasih saya itu sebab dia memiliki personaliti yang baik dan tahu menghormati orang tua," ujarnya.

Foto yang dimuat naik Ruhainies mengundang kecaman.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu tidak menyangka foto dia di dalam kereta mewah jenama Mercedes yang dimuat naik dalam Instagramnya itu menjadi perhatian netizen.

Kata Ruhainies, dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk logo kereta mewah tersebut namun hanya ingin memberi bayangan kini sedang dilamun cinta.

"Saya tak sangka pula foto itu menjadi perhatian netizen disebabkan logo kereta Mercedes. Memang tidak ada niat pun nak menunjuk.

"Tujuan saya muat naik foto tersebut sebab nak beri bayangan saya kini sedang bercinta. Bukan nak tayang kereta apa saya naik," katanya.

Ruhainies

Artikel Lain