suria

Mujur drama ‘Nur’ menang ASK 2018, kalau tidak... - Pengarah

Shahrulezad bimbang dengan harapan tinggi penonton. Foto: SHAARI CHEMAT

PENGARAH dan penulis skrip drama Nur, Shahrulezad Mohameddin mengakui tertekan apabila penonton sebelum ini meletakkan harapan tinggi supaya karya tersebut memenangi Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018).

Shahrulezad berkata, jika drama itu gagal meraih salah satu trofi dalam anugerah tersebut, dia bakal berdepan pelbagai reaksi dan komen orang sekeliling.

"Sejujurnya, saya tak suka apabila ada orang letak jangkaan terlalu tinggi untuk drama kita menang dan itu membuatkan saya jadi takut dan tertekan.

ARTIKEL BERKAITAN:  'Pendosa Ingin Ke Syurga’, ‘Dukun’ diangkat karya terbaik ASK 2018

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz langgan pelacur punca 'Nur' dikritik!

"Bayangkan kalau drama ini kalah, tak bawa balik apa-apa trofi, orang akan pandang saya lain macam dan tanya kenapa tak menang ya?

"Sebenarnya, saya tak suka orang simpati kalau saya kalah. Alhamdullilah, rezeki memihak kepada kami malam ini," katanya kepada mStar Online.

Nur raih tiga anugerah di malam ASK 2018.

Shahrulezad Mohameddin ditemui sejurus pengumuman pemenang ASK 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu memenangi anugerah bagi kategori Drama Rantaian Terbaik.

Selain itu, pelakon utamanya iaitu Syafiq Kyle dan Amyra Rosli turut merangkul anugerah kategori Pelakon Wanita dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian.

ASK 2018 mengangkat drama terbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd berjudul Pendosa Ingin Ke Syurga sebagai Drama Terbaik dan filem Dukun terbitan Astro Shaw sebagai Filem Terbaik.

Dukun diangkat sebagai filem terbaik dan meraih lima kategori.

Bercakap mengenai Nur 2, Shahrulezad berkata dia bimbang jika sekual tersebut tidak memenuhi jangkaan penonton.

Bagaimanapun, sebagai pengarah dia sentiasa mengingatkan pelakon dan tim produksi supaya tidak terlalu memikirkan tentang hal itu.

"Ramai orang tertunggu-tunggu Nur 2, itu buat saya tertekan. Saya takut kalau penonton meletakkan jangkaan lebih untuk siri kedua ini.

"Apa-apa pun saya dah pesan kepada semua tim produksi untuk enjoy sahaja sepanjang penggambaran dan jangan ada rasa pressure.

"Insya-Allah kami akan memulakan penggambaran Disember ini dan dijangkakan Nur 2 bakal menemui penonton awal tahun depan," katanya yang masih mengekalkan pelakon yang sama untuk drama itu.

Nur, Shahrulezad

Artikel Lain