suria

“Budak baru jangan nak poyo” - Waris bukan tuju untuk Ben Ladin

Lagu Artifisial bukan ditujukan kepada Ben Ladin.

PENYANYI Waris menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya lagu terbaharu dia berjudul Artifisial ditujukan kepada Ben Ladin.

Waris, 28, berkata lagu tersebut bersifat umum dan sindiran itu kepada penyanyi baharu yang cuba menjadikan muzik hiphop ini sebagai batu loncatan untuk meraih populariti singkat.

"Ada yang komen di YouTube kata saya sindir Ben Ladin, ingin saya jelaskan maksud lagu tersebut bukan untuk penyanyi remaja itu. Saya dah kenal Ben sejak tujuh tahun lalu.

"Dia banyak belajar dengan saya dan kami dah kenal hati budi, jadi lagu itu dicipta bukan untuk menyerang dia.

"Lagu ini merupakan sindiran terbuka untuk rapper wanna be yang tak ada bakat tapi cuba-cuba nak terjun dalam muzik ini, siapa orangnya? biarlah pendengar terus meneka!," katanya kepada mStar Online.

Waris ditemui semasa Konsert Evolusi Petaling Jaya 2018 yang diadakan di Dataran Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Lirik lagu ciptaan Waris mempunyai maksud tersirat dan mendalam.

Sementara itu, Waris meminta penyanyi baharu yang mula menceburi muzik hiphop menghormati penyanyi senior yang telah lama memperjuangkan genre ini.

Ujarnya, sikap angkuh dan sombong sesetengah daripada mereka ini hanya akan membuatkan genre tersebut menjadi rosak.

"Budak-budak baru jangan nak poyo dengan budak lama. Jumpa orang lama tolong respect.

"Kita dah lama perjuangkan muzik ini supaya org tak salah faham... ada benda boleh buat, ada benda tak boleh.

"Kita dulu buat muzik susah, bukan naik cara senang, kena lalu dari bawah tak boleh main belasah dan mengaku diri rapper," katanya.

Waris mengakui bukan mudah membina nama dalam muzik hiphop.

Bercakap mengenai lagu Artifisial, Waris mengakui muzik tersebut memiliki unsur lirik yang agak kasar dan kedengaran lucah.

Bagaimanapun ia mempunyai maksud tersirat yang perlu dirungkai sendiri oleh pendengar.

"Sebelum video muzik dimainkan kita dah maklumkan bahawa ia untuk pendengar 18 tahun keatas kerana kita sedar ada sesetengah lirik bunyinya kasar.

"Tapi ia bukan berunsur lucah, sebaliknya memiliki maksud mendalam sebagai kiasan dan tidak menghina mana-mana golongan.

"Lirik berbentuk sindiran itu perkara biasa dalam muzik rap, cuma tengoklah siapa terasa. Buat masa ni belum ada yang balas lagi," katanya yang bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Balik Kampung tidak lama lagi.

Lagu Artifisial ciptaan Dj Fuzz serta lirik oleh Waris telah dimuat naik di YouTube sejak 20 Oktober lalu dan menerima lebih 300,000 tontonan di laman tersebut.

Bercakap mengenai konsert Evolusi PJ 2018, selain Waris, artis lain yang menghiburkan pengunjung ialah XPDC, Ara Johari, Santesh Akim & The Majistret, Masya Masyitah dan Uchop Ahmad

Waris hiburkan pengunjung di Konsert Evolusi PJ 2018.

Konsert dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain ini dimulakan dengan persembahan kebudayaan dari sembilan buah negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah yang menampilkan tarian etnik Melayu, Cina, India, Punjabi, Borneo, Indonesia (Bandung), Jepun (Miyoshi), Korea Selatan (Asan), Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Botswana.

Konsert berakhir pada pukul 12 tengah malam bersama dengan persembahan bunga api sebagai penutup.

Selain konsert, PJ Fair 2018 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain antaranya Malaysia Book of Records – The Most Number of Mannequin Challenge Participants, Asian Corner (makanan & minuman, pakaian, kraftangan dan lain-lain), Painting & Pledge And Plant A Tree (World Habitat’s Day), PJ Green Explorace, Fun Run, Smart Ride, International Netball Championship, Pertandingan Memancing, Kids Zone dan lain-lain lagi.

Waris, Ben Ladin

Artikel Lain