suria

Ara Johari gementar sehingga menganggu permulaan nyanyian

Ara akui berasa gementar menyebabkan nyanyian awalnya terganggu. Foto Instagram: @arajohari.

SHAH ALAM: Penyanyi Ara Johari mengakui persembahannya tidak begitu baik pada permulaan nyanyian di Semi Final Muzik-Muzik 33 yang berlangsung pada Jumaat.

Ara, 21, berkata situasi itu berlaku disebabkan dia berasa gementar namun berjaya mengatasinya di pertengahan persembahan.

"Sebenarnya sebelum naik pentas, saya tak rasa apa-apa. Tapi tiba-tiba saya rasa menggigil satu badan sebelum mula persembahan.

"Menyebabkan saya terus rasa gementar hingga menganggu nyanyian saya pada permulaan persembahan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak mungkin… Ismail Izzani dah macam adik” – Ara Johari


Ara gementar pada awal persembahan.

"Sebab tu, kalau ada yang perasan tangan saya menggigil dan jelas kedengaran ketika awal nyanyian hingga korus.

"Bagaimanapun, saya kembali dapat rentak selepas masuk 'verse' kedua hingga akhir persembahan,” katanya kepada mStar Online.

Ara ditemui ketika Semi Final Muzik-Muzik 33 (SFMM33) minggu kedua di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini pada Jumaat.

Pemilik nama Nurfarrah Izzatie Johari ini mempertaruhkan lagu Bunga ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok dan berjaya menjadi lagu terbaik minggu kedua SFMM33.

Selain Bunga, 10 lagu lain yang bertanding terdiri daripada Rahsia Kita (Khai Bahar & Fatin Husna), Jagakan Dia (Shiha Zikir), Kau Pun Sama (Syamel),dan Stereotype (Akim & The Majistret).

Selain itu, lagu Sulit (Aman Aziz), Demi Kita (Ismail Izzani), Cakap Ke Tangan (Stacy), Luluh (Khai Bahar), Bunga (Altimet) dan Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah).

Ara harap lagu Bunga ke pentas AJL33.

Pada separuh akhir pertama, lagu Semakin nyanyian Siti Sarah dipilih sebagai lagu terbaik.

Dalam pada itu, Ara memberitahu lagu Bunga merupakan cabaran dari segi vokal memandangkan ia perlu bernada tinggi.

Namun, dia juga berharap lagu tersebut mampu ke pentas Anugerah Juara Lagu 33 dan menebus semula kesilapannya pada tahun lalu menerusi lagu Warkah Untukmu.

"Sejujurnya lagu ini memerlukan nada tinggi dan mencabar vokal saya. Tapi alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik.

"Saya berharap lagu ini dapat ke pentas AJL 33 dan tebus kesilapan tahun lalu dimana ketika menyanyikan lagu Warkah Untukmu itu saya tidak sihat," ujarnya.

Ara Johari, SFMM33

Artikel Lain