PELAKON Zul Huzaimy mengakui pernah berasa kurang senang dengan gelaran dan panggilan sebagai 'Mat Rempit'. Menurut Zul, 39, impak lakonannya dalam filem Remp-It dan Mat Motor menyebabkan karakter tersebut menjadi ingatan dan sebutan penonton. "Masa mula-mula dulu saya bangga bila ada orang panggil gelaran tu... tapi lama-lama saya rasa macam tak selesa pula. Rasa macam mereka perli aku ke? Hilang dah perasaan bangga tersebut. "Tapi sekarang ini lebih ramai panggil Spark iaitu nama watak saya dalam filem tersebut dan kalau masih ada yang panggil saya Mat rempit pun saya tak kisah dah!," katanya kepada mStar Online. Zul Huzaimy ditemui semasa sidang media Spark Gathering & Jungle Town Karnival 2018 yang diadakan di The Garage, Kuala Lumpur pada Sabtu. Dalam sidang media itu, Zul sebagai pengasas Spark Malaysia Club mengumumkan bakal menganjurkan karnival permotoran dan kebudayaan di Lapangan Terbang Gerik, Perak pada 29 dan 30 Disember ini. Selain Zul, bintang popular lain yang akan turut menyertai acara tersebut ialah Datuk Farid Kamil, Cat Farish, Dayana Roza, Jaa Suzuran, Mamat dan ramai lagi. Zul dan beberapa selebriti popular bakal menjayakan karnival Spark Gathering & Jungle Town Karnival 2018, di Gerik, Perak, bulan depan. Sementara itu, aktor filem Anak Halal ini memberitahu banyak sisi positif yang boleh diambil daripada golongan tersebut. "Mereka sangat bersatu dan mempunyai hubungan persahabatan yang kuat dan itu membuatkan saya kagum dengan mereka. Ada yang saya kenal sanggup membantu kawan yang dalam kesusahan. Bila motor member rosak mereka sampai dahulu. "Saya pernah berkawan dengan beberapa orang mat rempit dan ada antara mereka yang berpelajaran. Jadi kita tak boleh pandang mereka hanya di luaran semata-mata dan bukan semua pengguna motosikal adalah mat rempit," katanya. Dalam pada itu, Zul memberitahu Spark Malaysian Club (SMC) merupakan satu pertubuhan yang bermatlamat untuk menyatukan semua pengguna motosikal di Malaysia. "Pelbagai aktiviti kita akan adakan dalam SMC ini, kita mengalu-alukan penyertaan semua pengguna motosikal terutamanya jenis kapcai. "Dengan pendaftaran RM35, ahli mendapat banyak manfaat antara khairat kematian dan jika ada kesungguhan kita akan beri peluang kepada mereka untuk menjalankan perniagaan. Kita rancang setiap daerah dalam Malaysia akan ada satu kumpulan yang akan kita bantu bina perniagaan mereka," katanya. Bercakap mengenai program Spark Gathering & Jungle Town Karnival 2018, Zul Huzaimy berkata pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang dua hari program tersebut. Antaranya persembahan motosikal lasak, cabutan bertuah, malam tradisi silat, pelbagai booth jualan dan banyak lagi. "Kita dapat kerjasama banyak pihak termasuk pejabat daerah dan agensi-agensi kerajaan. Apa kita harap program ini akan memberikan impak positif dalam mewujudkan hubungan sosial yang baik dengan masyarakat setempat. "Dalam masa sama, menunjukkan keunikan yang terdapat di sekitar kawasan Gerik, Perak," ujarnya.