suria

Ibu nyaris tukar Wany Hasrita kepada bayi lain kerana tak henti menangis



SIAPA sangka di sebalik wajah cantik dan penampilan yang sopan, rupa-rupanya penyanyi Wany Hasrita ini seorang kanak-kanak yang boleh dikategorikan 'nakal'.

Perangai sebenar Wany ketika di zaman kanak-kanak dibongkarkan oleh ibunya, Norita Jaafar pada pertemuan mStar Online bersama mereka di studio Menara The Star di Petaling Jaya baru-baru ini.

Kata Norita, 47, Wany seorang kanak-kanak perempuan yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti bergayut di atas buaian yang terletak di taman permainan.

Norita dedah Wany gemar melakukan aktiviti lasak.

Malah, penyanyi lagu Menahan Rindu ini juga pernah dipukul oleh ayahnya gara-gara bermain di kawasan longkang yang berbahaya.

"Wany suka buat benda yang bahaya ketika dia masih kecil. Dia suka lakukan aktiviti yang tak sepadan dengan usianya yang ketika itu baru 6 tahun.

"Dia ada sedikit perangai seperti lelaki dan boleh dikatakan nakal juga. Benda yang paling dia suka buat ialah bergayut di buaian dengan kaki di atas, kepala dekat bawah.

"Pernah sekali, Wany kena pukul dengan ayah dia sebab bermain di longkang besar yang sangat berbahaya," cerita Norita kepada mStar Online.

Masa lahirkan Wany, saya baru berusia 21 tahun. Malam pertama saya di hospital kerajaan, saya tak tahu macam mana nak pegang bayi.

Norita Jaafar

Ibu Wany Hasrita

Selain kisah zaman kanak-kanak Wany, Norita juga berkongsi cerita dia hampir menukarkan anaknya itu dengan bayi lain.

Bagaimanapun, kata Norita, ia sekadar berseloroh memandangkan ketika itu dia baru berusia 21 tahun dan tidak mempunyai pengalaman menjaga anak kecil.

"Masa lahirkan Wany, saya baru berusia 21 tahun. Malam pertama saya di hospital kerajaan, saya tak tahu macam mana nak pegang bayi.

"Ketika itu, nampak ada bayi di sebelah senyap sahaja. Tapi Wany pula tak henti menangis asyik mahu dipangku. Apabila letak dia di tempat lain dia mula menangis.

Hubungan Wany dan bapanya masih rapat biarpun kedua orang tuanya sudah bercerai.

"Dalam hati dah terfikir nak tukar dia dengan bayi sebelah. Tapi hanya sekadar gurau sahaja. Rupa-rupanya dia menangis sebab kembung perut," ujarnya.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah dilahirkan pada 25 Disember 1992 di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Ewah Ewah ini juga berkongsi cerita mengenai perceraian ibu dan bapanya, Hasbullah Hassan.

Menurut Wany, dia hanya mengetahui ibu dan bapanya sudah bercerai apabila terjumpa dokumen perceraian yang disorokkan selama hampir setahun.

Wany terima dengan baik ibu dan bapanya sudah bercerai.

Biarpun ketika itu Wany berusia 12 tahun namun dia boleh memahami keadaan itu dan menerimanya dengan baik.

"Saya dapat tahu ibu dan ayah bercerai selepas terjumpa dokument perceraian mereka yang disorok. Rupa-rupanya mereka dah bercerai hampir setahun tanpa pengetahuan saya.

"Selepas baca dokumen tu, saya pergi bilik ibu dan bertanya pada dia. Tapi dia yang menangis dan saya tenang sahaja.

"Saya tak tahu fasal perceraian itu sebab saya tinggal bersama nenek saudara ibu selama setahun sebab ibu dan ayah kerja dan tak ada siapa boleh jaga saya.

"Walaupun waktu itu saya hanya berusia 12 tahun tapi dah boleh faham apa yang mereka lalui dan saya terima dengan baik," katanya.

Wany Hasrita

Artikel Lain