suria

“Kalau bertemu jodoh, saya nak dia sayang dan terima anak-anak” - Amelina

Amelina masih ada perasaan trauma untuk berkahwin semula.

PENYANYI Amelina tidak terlalu memikirkan untuk berkahwin semula kerana dia masih mempunyai perasaan trauma.

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 44, berkata dia kini hanya mencari kebahagian bersama anak-anaknya.

"Sebenarnya saya masih ada perasaan trauma untuk berumah tangga. Tu yang buat saya rasa, kalau ada jodoh, ada la. Kalau tak ada, tak mengapa.

"Terus terang apa yang saya cari dalam kehidupan sekarang adalah kebahagian. Rezeki bersama anak-anak. Kalau mereka gembira, barulah saya gembira.

"Saya bukan macam budak muda yang impikan nak anak atau suami. Saya dah pernah ada suami dan ada enam anak pun," katanya kepada mStar Online.


Anak-anak adalah keutamaan Amelina.

Amelina ditemui ketika pusingan akhir Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 di Utusan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi lagu Asyik ini juga memberitahu dia kini lebih berhati-hati memilih pasangan hidup demi anak-anak.

Sekiranya Amelina ditemukan jodoh, dia mahu seseorang itu menyayangi dan menerima dirinya serta keluarga dengan seadanya.

"Anak-anak saya tak dapat rasa kasih sayang seorang bapa. Tu yang saya berhati-hati pilih pasangan sebab mereka harapkan kasih sayang bapa.

"Sekiranya saya ditemukan jodoh, saya mahu dia menyayangi dan terima saya serta anak-anak seadanya.

Amelina mahu seseorang itu menyayangi dan menerimanya seadanya.

"Sebab itu, saya akan temukan dengan anak-anak terlebih dahulu. Mereka boleh tahu seseorang itu ikhlas atau tidak," ujarnya.

Amelina dan Reduan berkahwin pada 20 Mei 1999 dan sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu Rindu itu menghilangkan diri daripada dunia hiburan.

Hasil perkahwinan dengan usahawan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, 17, Putera Al’ Affiq, 16, Putera Al’ Asyraff, 15, Puteri Nur’ Asyurah, 13, Putera Al’ Arffa, 11 dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.

Pasangan itu dilaporkan bercerai pada 2014.

Dalam pada itu, Amelina akan melancarkan lagu dangdut terbaharunya yang masih dirahsiakan tajuk dalam minggu ini.

Amelina bakal tampil single terbaharu yang mengisahkan kehidupan peribadinya.

Menurut Amelina, kisah kehidupan peribadinya dikongsikan menerusi lirik lagu tersebut yang dicipta oleh Kucing Manja.

"Insya-Allah dalam minggu ini saya akan lancarkan lagu terbaharu. Tajuk masih dirahsiakan dan akan diumumkan nanti.

"Lagu ini mengisahkan kehidupan peribadi saya. Ada beberapa lirik lagu ini nampak kegembiraan saya dan perasaan kecewa serta sakit hati yang pernah saya rasakan.

"Kiranya untuk motivasi diri saya juga. Kadang-kadang penderitaan itu sebenarnya anugerah untuk kita rasa gembira selepas itu," katanya.

Amelina

Artikel Berikut

Artikel Lain