suria

Buang ego… jangan gaduh lama-lama, itulah petua bahagia Amyra dan Amar Baharin

Amyra Rosli dan Amar Baharin sentiasa memastikan tidak dikuasai ego dalam menjaga keharmonian rumah tangga mereka.

PASANGAN pelakon Amyra Rosli dan Amar Baharin dilihat antara selebriti yang bahagia selain sering menjadi contoh dan ikutan peminat.

Pun begitu kata Amar, seperti mana pasangan berkahwin lain, mereka juga tidak terkecuali daripada berselisih faham namun menganggap ia perkara biasa dalam sesebuah rumah tangga.

Namun kata Amar, dia dan Amyra sentiasa memastikan tidak meletakkan ego lebih tinggi dalam menjaga keharmonian rumah tangga mereka termasuk tidak membiarkan sesuatu sengketa berlarutan lama.

"Jujur saya cakap suami-isteri mana yang tidak pernah bergaduh... Kami juga manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

"Tetapi kami sering ingatkan diri masing-masing agar membuang ego jauh-jauh agar sesuatu isu tidak berpanjangan.

"Kami kalau timbul salah faham atau gaduh selalunya memang tak lama, selalunya kami akan kembali berbaik," katanya kepada mStar Online.

Pasangan ini bahagia dengan kehadiran anak lelaki mereka, Aqeef Anaqi.

Amar dan Amyra berkahwin pada November 2016 dan pasangan ini dikurniakan putera sulung, Aqeef Anaqi yang lahir pada 15 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai dirinya yang dilihat menyepi sejak kebelakangan ini, Amar berkata, perkara itu disebabkan dia sibuk di set penggambaran drama rantaian 100 episod berjudul Jodoh-Jodoh Anissa untuk siaran Astro.

Kata Amar, jadual penggambaran yang ketat menyebabkan dia jarang membuat kemunculan di majlis hiburan ditambah dia tidak mempunyai drama terbaharu di televisyen.

"Kebanyakan masa saya memang di set, jadi kurang pendedahan dan Insya-Allah penggambaran akan berlangsung sehingga April tahun hadapan.

"Terasa juga lama tidak keluar televisyen dan peminat pun ada bertanya dan ini juga saya jadikan pengajaran agar menyusun jadual dengan lebih baik pada masa akan datang sekiranya terlibat dalam projek besar," katanya.

Amar Baharin, Amyra Rosli

Artikel Lain