suria

10 tahun dalam industri tak pernah dapat royalti

Mila hasrat salur royalti kepada badan kebajikan.
PENYANYI Mila Jirin mengakui sepanjang 10 tahun bergelar penyanyi dia tidak pernah menerima sebarang bayaran royalti daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Mila berharap lagu baharunya berjudul Adam & Hawa dapat memberi sedikit rezeki daripada hasil royalti dan berhasrat untuk menyumbangkannya kepada badan kebajikan.

"Saya berdoa agar Allah permudahkan dan mana tau ada rezeki dapat saya rasai hasil royalti untuk lagu ini dan dapat saya salurkan sepenuhnya untuk kebajikam.

"Sepanjang 10 tahun berada didalam industri seni suara tempatan, saya tak pernah dapat merasai walaui satu sen hasil royalti dari lagu lagu yang saya dendangkan sebelum ini,” ujarnya kepada mStar Online.

Mila berkata projek lagu Adam & Hawa ini juga amat istimewa apabila hasil royalti yang bakal dierima akan di salurkan kepada badan bukan kerajaan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

Lagu Mila Jirin bukan untuk komersil.

Bagaimanapun, Mila menegaskan lagu ciptaan Sigit Baskara yang dilancarkan sejak Mei lalu bukan bertujuan kormersil atau meraih keuntungan.

Malah, dia juga tidak pernah berharap lagu itu dimainkan di radio-radio tempatan.

Mila berkata, lagu itu dicipta istimewa ditujukan buat suaminya Ailis Mustapha.

"Pada awalnya saya berfikir untuk buat sebuah lagu kepada suami dan kaum isteri-isteri yang ingin memberi lagu tersebut kepada suami mereka.

"Jika radio tempatan tidak mahu siarkan lagu Adam & Hawa, saya tak kisah kerana ianya bukanlah matlamat utama saya mengeluarkan karya Adam & Hawa.

"Lagu ini di buat, ditulis bukan atas dasar komersial tetapi atas dasar ingin menyampaikan mesej dan juga konten yang baik buat pendengar,” ujarnya.

Sementara itu, Mila berkata, lagu Adam & Hawa menjadi lagu wajib untuk dimainkan di lapan cawangan dewan perkahwinan Bizzmilla di Subang, Cheras dan Kajang setiap kali acara memotong kek.

Dalam pada itu, Mila berkata, pada awalnya suami tidak setuju untuk dia menyanyi semula, namun mendapat keizinan selepas dimaklumkam ia atas dasar menyampaikan mesej yang baik.

"Tapi selepas saya maklumkan niat saya untuk terus berkarya atas dasar menyampaikan mesej yang baik kepada pendengar, suami saya izinkan dengan syarat lagu lagu yang ingin disampaikan mempunyai nilai murni serta dapat mengajak manusia ke arah kebaikkan” ujarnya.

Juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkahwin dengan Ahmad Ailis pada 11 November 2015. 

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata lelaki yang diberi nama Mohamad Arif Zikri pada 13 Mei 2017.

Mila Jirin

Artikel Lain