suria

Tiada lagi pas percuma, TV3 jual tiket Anugerah Juara Lagu

Siti Nordiana dan Jaclyn Victor antara finalis Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33). Foto Instagram @muzikmuzik_33

PENGANJURAN Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) pada 3 Februari depan tidak lagi memperuntukan tiket percuma sebaliknya tiket menyaksikan acara itu akan dijual kepada penonton. 

Pengurus Hiburan Primeworks Studio, Muhammad Sufian Che Isa berkata, tiket bagi menyaksikan AJL33 akan dijual pada harga serendah RM25 secara atas talian bermula 7 Januari ini.

"Ini merupakan kali pertama kami menjual tiket AJL kepada penonton. Dengan kaedah ini, semua peminat akan mendapat peluang sama dalam memiliki tiket AJL33 secara atas talian.

"Oleh itu, kami menyeru kepada semua peminat dapatkan tiket anda segera sebelum habis kerana harga tiket AJL33 yang amat rendah ini pastinya ia akan habis pada masa yang singkat," katanya.

Misha Omar mempertaruhkan Sampai Bila di AJL 33.

AJL33 bakal berlangsung di Stadium Axiata Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Februari depan pada pukul 9 malam. Selain tiket berharga RM25 (Arena 4), dua lagi jenis tiket yang dijual ialah RM35 (Aras 3) dan RM55 (Arena).

Ia boleh didapati menerusi laman web wwww.myticket.asia.com bermula 7 Januari hingga 2 Februari 2018.

Sementara itu, Muhammad Sufian berkata, harga tiket yang dijual itu adalah berpatutan berbanding harga tiket konsert-konsert lain tambahan pula ia adalah sebuah acara menampilkan ramai penyanyi popular yang akan berentap bagi merebut gelaran juara AJL33.

Sebanyak 12 buah lagu terbaik bakal dipersembahkan pada di AJL33 ini yang terdiri daripada Semakin (Siti Sarah), Bunga (Ara Johari), Kau Pun Sama (Syamel), Sampai Bila (Misha Omar), Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah) dan Luluh (Khai Bahar).

Turut tersenarai, Bunga (Altimet), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli feat Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer), Hajat (Hael Husaini), Di Mata Mu (Sufian Suhaimi) dan Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor).

AJL 33

Artikel Lain