suria

Farid Kamil dikenakan waran tangkap tidak hadir ke mahkamah

Farid Kamil dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah pada hari keempat perbicaraan kes urin yang dihadapinya pada Jumaat.

PELAKON Datuk Farid Kamil dikenakan waran tangkap kerana gagal menghadirkan diri pada hari keempat perbicaraan kes urin yang dihadapinya pada Jumaat.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon filem Tombirou: Penunggu Rimba itu.

Menurut Bernama, waran itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membuat permohonan tersebut susulan kegagalan Farid, 38, dan penjaminnya hadir, selain tiada sebarang laporan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada mahkamah.

Nor Ariffin berkata waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh.

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada Isnin depan namun mahkamah tetap mengeluarkan perintah waran tangkap itu.

Farid tidak dapat hadir ke mahkamah disebabkan dia kini berada di Johor Bahru.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Megat Syazlee memaklumkan anak guamnya itu kini berada di Johor Bahru.

"Saya sudah maklumkan kepada Farid malam semalam namun dia beritahu tidak sempat datang kerana sedang menjalani penggambaran.

"Dalam prosiding tadi juga, saya sudah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketidakhadirannya adalah bukannya sesuatu yang disengajakan, sebaliknya dia keliru kerana terdapat banyak tarikh ditetapkan," katanya.

Pada 25 Jan 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Januari tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Farid Kamil

Artikel Sebelum

Ibu Linda Rafar meninggal dunia

Artikel Lain