suria

Lan Solo terpaksa sekat semua anggota Kristal di laman sosialnya

Lan Solo tiada kena mengena lagi dengan kumpulan Kristal.

PENYANYI Lan Solo mengakui dia telah menyekat kesemua ahli kumpulan Kristal di laman sosial miliknya sejak minggu kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) lalu.

Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yusof, 34, berkata, ketika itu dia ingin memberi tumpuan kepada program tersebut dan selain mahu menghindari daripada perkara-perkara negatif.

"Sebenarnya cerita ni dah lama. Saya pun tidak ada niat nak perbesarkan dan tak perlu pun nak perbesarkan isu ni. Saya mula menyekat IG (Instagram) mereka pada minggu kelima GV4.

"Bukan sebab saya marah tapi ketika itu ada la rasa kecewa. Tapi sebab saya nak fokus pada perjalanan dalam GV, saya nak cuba hindarkan anasir negatif jadi saya buat la macam tu.

"Tapi saya tak sekat IG band, hanya sekat laman sosial individu sahaja. Sebab saya tidak mahu tahu perkara-perkara negatif yang mereka lemparkan ketika itu," katanya kepada mStar Online.


Lan diminta mengulas mengenai kenyataan Rody yang mengatakan mereka tidak lagi berhubung dan dia telah menyekat semua anggota kumpulan Kristal di laman sosial.

Penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela ini ditemui ketika sidang media Konsert Retro di Selasar Pualam, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Lan menjelaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan mereka sudah berbaik semula namun mengatakan masing-masing membawa haluan sendiri.

Menurut Lan, dia sebenarnya enggan mengulas perkara tersebut kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi dan beranggapan tindakan menyekat itu adalah haknya.

"Kalau ikutkan, saya tak pernah keluarkan kenyataan kata kami sudah berbaik semula. Tapi saya ada katakan yang kami sudah mengambil haluan masing-masing sahaja.

"Tapi sebenarnya saya tak nak panjangkan isu ini. Nanti mengeruhkan lagi keadaan kalau saya bagi lagi kenyataan.

"Bagi saya, itu hak saya dan IG ni tempat untuk saya berkomunikasi dengan peminat. Perkongsian saya lebih kepada perkara positif sahaja," ujarnya.

Lan Solo

Artikel Lain