PENJAGA gol skuad futsal wanita kebangsaan, Niena Azman bersyukur apabila suami, Rody Kristal berada disisinya ketika melahirkan anak sulung mereka pada 15 Januari lalu. Niena atau nama sebenarnya Nur Izwani Azman, turut memohon maaf kerana menggenggam erat tangan suaminya ketika proses bersalin sehingga meninggalkan bekas. Malah, Niena juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dia dan bayi lelakinya yang diberi nama Adith. ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Rody (Kristal), Niena Azman sambut kelahiran bayi lelaki Niena mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mendoakan dia dan bayinya. "Minda memainkan semula apa yang tidak dapat dipadamkan oleh hati. Nasib baik En.Mi (suami) disisi, maaf ya habis tangan dia berbekas kena penangan genggaman penjaga gol. "Terima kasih pada semua yang beri ucapan dan mendoakan Niena dan baby Adith, tak dapat nak balas satu-satu. "Baru hari ini dapat nak muat naik gambar baby Adith nakal. Semalam dia dah 'kencingkan' daddy dia. Terima kasih sebab sudi sama-sama tukar lampin Adith pukul 5 pagi," katanya. Niena berkongsi foto momen bersama suaminya ketika menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka di laman Instagram. Niena berterima kasih kepada suaminya yang sudi membantu menukar lampin bayi mereka di awal pagi. Rata-rata pengikut di media sosial mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan keluarga pasangan itu. Niena ketika dihubungi mStar Online pada 15 Januari lalu memberitahu dia selamat melahirkan bayi lelakinya secara normal di sebuah hospital swasta. Dia dan pemain gitar kumpulan Kristal itu berkahwin pada 28 April 2018. Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, 31 dan Niena berkenalan pada April 2017 melalui seorang rakan.