suria

Bolot 3 trofi EDMA 2018, bukti Haqiem Rusli masih dapat sokongan peminat

Haqiem Rusli membawa pulang tiga trofi pada Anugerah ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018). Foto Instagram @era.je

PENYANYI sensasi Haqiem Rusli menyifatkan kemenangan besarnya pada Anugerah ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018) yang berlangsung pada malam Jumaat sebagai petanda positif dalam karier seninya.

Haqiem berkata, walaupun namanya terpalit dengan pelbagai kontroversi sepanjang tahun lalu namun sokongan ditunjukkan peminat membuatkan dia sentiasa positif untuk maju ke hadapan.

"Terima kasih kepada semua keluarga, syarikat rakaman dan paling utama peminat saya yang sentiasa menyokong saya walaupun banyak perkara telah berlaku.

Khai Bahar.

"Saya sentiasa berasa positif dan kemenangan ini adalah pemangkin semangat buat saya untuk terus bergerak ke hadapan," katanya.

Pada acara itu, Haqiem membawa pulang tiga trofi iaitu Lagu Paling Viral (Selamat Tinggal Sayang), Penyanyi Kolaborasi Terbaik (Jatuh Bangun) dan Temubual Terbaik Carta ERA.

Antara pemenang lain adalah Zizan Razak (Muzik Video Paling Lit: Kau Takkan Tahu), Khai Bahar (Penyanyi Paling Lit di Media Sosial) dan Alif Satar (Lagu Paling Lama dalam Carta ERA 40: Sesungguhnya Aku).

Alif Satar.

EDMA 2018 turut memberi trofi khas kepada penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza atas sumbangan beliau dalam industri muzik tempatan sepanjang dua dekad.

Dalam pada itu, Haqiem berkata, tahun 2019 bakal memperlihatkan dia kembali aktif dengan kemunculan dua buah single terbaharu termasuk sebuah lagu berbahasa Inggeris.

Selain itu, Haqiem berkata, dia juga sedang giat menjalani latihan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini.

Haqiem bakal mempertaruhkan lagu Jatuh Bangun yang turut menampilkan Aman Ra.

Haqiem Rusli, EDMA 2018

Artikel Lain