PELAKON dan penyanyi Diana Rafar memberitahu dia merindui panggilan telefon daripada ibunya setiap kali memandang telefon milik Allahyarham yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.
Cerita Diana, ibunya menyerahkan telefon jenis Nokia itu kepadanya untuk disimpan ketika dia sedang sakit namun sempat berpesan agar tidak menghilangkan telefon berkenaan.
"Sepanjang hayat mak, setiap hari dia akan telefon anak-anaknya untuk bertanya khabar atau sekadar berbual kosong.
"Kalau dengan saya, bukan sekali tapi sehingga lima ke tujuh kali mak akan telefon! Bila dia tidak telefon saya pula akan menelefon dia tanya kenapa tak hubungi saya seperti kebiasaan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Dibuli’ isu fitnah jururawat... 100 netizen berdepan saman Linda Rafar
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Linda dan Diana Rafar meninggal dunia
"Telefon itu hanyalah jenis Nokia biasa kerana itu sahaja yang dia pandai guna namun selepas dia meninggal telefon itu menjadi satu benda penting buat saya tambahan pula mak suruh simpan dan jangan hilangkan.
Gambar kenangan keluarga Diana bersama arwah ibu mereka pada Aidilfitri lalu.
"Sampai kadang-kadang saya terasa macam nak dail sendiri nombor saya pada telefon mak agar keluar nama dia di telefon saya," katanya.
Ibu Diana, Rasimah Abd Rahman meninggal dunia pada 11 Januari lalu di Hospital Shah Alam sebulan selepas tangan kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi gigitan serangga.
Dalam pada itu, Diana berkata, dia masih belum dapat membiasakan diri hidup tanpa seorang ibu dalam hidupnya sehingga mengalami demam sejak arwah meninggal dunia.
Kata Diana, hidupnya terasa kosong namun bersyukur mendapat ahli keluarga dan suami yang sentiasa menyokong dan beri kata-kata semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan.
"Baru saya tahu apa rasanya... Terputus berkat dan rahmat apabila kehilangan seorang ibu yang disayangi.
"Apabila lalui sendiri ia bukan mudah, rasa macam kuat tapi sebenarnya tidak... saya demam selama dua minggu," jelasnya.
Suami dan anak-anak kekuatan Diana.
Cerita Diana lagi, sepanjang dua minggu itu juga dia setiap hari akan terjaga daripada tidur pada waktu yang sama iaitu 4.48 pagi dan berasa pelik dengan situasi itu.
Namun kata Diana, setiap kali terjaga dia akan mengambil kesempatan untuk melakukan solat Tahajud selain berdoa untuk ibunya.
"Setiap malam apabila saya tidur tiba-tiba akan tersentak lalu terjaga. Apabila saya tengok jam mesti pukul 4.48 pagi.
"Saya tidak tahu apa maksudnya... Terasa seperti ada sesuatu namun saya ambil kesempatan itu untuk solat dan berdoa untuk mak," katanya.
Dalam perkembangan sama, Diana berkata, buat masa ini dia menolak sebarang tawaran berkaitan lakonan dan nyanyian bagi menghormati pemergiaan ibunya.