suria

Bukan nak riyak tapi untuk kesedaran pada diri - Riz Amin

Riz Amin sebak dan sedih melihat penghuni di empat buah rumah kebajikan.

PELAKON Riz Amin berkongsi pengalamannya turun padang memberi sumbangan kepada empat buah rumah kebajikan di persekitaran Klang, Selangor.

Riz atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 34, berkata dia mendapat kesedaran dan kepuasan apabila melihat sendiri keadaan penghuni di rumah-rumah tersebut.

"Sebelum ini saya pernah juga ikut serta dalam program kebajikan dan sememangnya saya lebih suka 'turun padang' melihat sendiri keadaan mereka yang tidak bernasib baik.

"Bukan sebab nak berbangga atau riyak tetapi bagi saya bila dapat lihat sendiri boleh memberi kesedaran kepada diri saya.

Riz dan Adeline ketika di rumah jagaan orang-orang tua, Noble Care Centre.

"Saya rasa sebak dan sedih melihat orang-orang tua yang ditinggalkan anak. Mula terfikir macam mana keadaan ibu-bapa saya dan macam mana nanti bila saya dah tua pula," katanya kepada mStar Online.

Selain Riz, pelakon Adeline Tsen turut sertai majlis penyerahan sumbangan kepada rumah kebajikan di persekitaran Klang yang dianjurkan syarikat My Viuu Sdn Bhd pada Sabtu.

Empat rumah kebajikan tersebut iaitu The Boaz Field, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang Selangor, Noble Care Centre dan Good Samaritan Home.

Riz (tiga dari kiri) bersama Adeline dan pengarah syarikat My Viuu Sdn Bhd serta keluarga.

Dalam pada itu, pelakon drama Selafaz Cinta ini memberitahu dia masih lagi aktif dalam bidang lakonan dan dalam pada masa yang sama mengendali syarikat pengurusan acara miliknya bersama isteri.

"Saya masih lagi aktif dalam lakonan. Sebab itu adalah minat dan karier saya. Malah, fokus utama saya juga adalah bidang itu.

"Tapi saya ada juga membuka syarikat pengurusan acara bersama isteri. Tapi itu sekadar kecil-kecilan sahaja," katanya.

Riz Amin, Adeline Tsen

Artikel Lain