suria

“Kalau tak nak mengajar, saya kena bayar semula biasiswa tajaan” - Sissy Imann

Ramai pihak keliru dan menyangkakan Sissy mengajar vokal.

PENYANYI Sissy Imann memberitahu dia perlu mengajar dalam bidang pendidikan muzik di sekolah terpilih disebabkan pengajiannya sebelum ini mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa.

Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 24, berkata dia bagaimanapun mahu memberi tumpuan terlebih dahulu dengan apa yang ada di hadapannya sekarang.

"Sekarang ini saya dah tamat belajar dan saya ingin fokus pada nyanyian terlebih dahulu. Tapi saya tetap kena mengajar juga satu hari nanti.

"Sebab saya dapat biasiswa. Kalau tak nak mengajar, saya kena bayar semula tajaan biasiswa tu. Memang buat masa sekarang saya fokus apa yang dihadapan mata," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Sissy Imann masih tunggu lokasi tempat mengajar


Sissy perlu mengajar dalam bidang muzik di sekolah.

Sissy telah tamat pengajian dalam jurusan Sarjana Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur pada September tahun lalu.

Menurut penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini, ramai pihak keliru dan menyangkakan dia seorang guru vokal.

Kata Sissy, dia hanya mengajar vokal asas dan alat muzik seperti piano klasik di sekolah rendah ketika menjalani latihan perindustrian dan sehingga kini masih mengajar di rumah.

"Sebenarnya saya mula mengajar muzik sejak umur 16 tahun. Memang hari-hari saya mengajar sampai sekarang ini mengajar di rumah.

"Ramai orang ingat saya ini guru vokal tapi sebenarnya saya guru muzik sahaja. Bagi saya, guru vokal tu macam Ernie Zakri dan Datuk Shafinaz.

"Saya ini hanya mengajar piano klasik dan memang pernah ajar vokal asas untuk budak-budak sekolah rendah sahaja," ujarnya.

Sissy bergandingan dengan Niezam Zaidi.

Dalam pada itu, Sissy mengakui pada mulanya dia takut untuk menerima tawaran berlakon dan memegang watak utama dalam telefilem Misi Penculikan Cinta.

Bagaimanapun, Sissy menganggap ia satu cabaran yang baru memandangkan ramai pihak melihatnya boleh berlakon.

"Mula-mula saya sangat takut nak terima sebab ni kali pertama saya berlakon dan pegang watak utama. Tapi bagi saya, kalau kita tak cuba, kita tak tahu.

"Lagipun, tak pernah rugi pun kalau kita cuba sesuatu yang baru. Saya tertarik dengan jalan cerita telefilem itu yang berlatar belakangkan drama muzikal," katanya.

Telefilem itu telah ditayangkan pada Sabtu lalu bersempena dengan Anugerah Juara 33 (AJL33) yang telah berlangsung pada Ahad.

Sissy Imann

Artikel Lain