suria

“Seluruh pahala saya sebagai doktor untuk abah” - Anak pelawak Mr Os bergelar doktor

Syafiqa terkilan bapa tidak dapat melihat kejayaannya sebagai seorang doktor.

USAHA pelawak Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os dalam memberi pendidikan yang sempurna membuahkan hasil apabila anak sulungnya Syafiqa Hayra kini bergelar doktor.

Biarpun tidak mempunyai pelajaran tinggi, namun Allahyarham tetap percaya anak-anaknya mampu untuk berjaya dalam bidang pelajaran.

Syafiqa, 26, berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah menunaikan impian bapanya yang mahu dia menjadi seorang doktor dan berbakti kepada masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak Mr Os Meninggal Dunia Akibat Kanser Paru-Paru

“Arwah abah seorang yang sangat serius dalam pelajaran dan agama. Tapi dia tak pernah marah mahupun jentik sepanjang membesarkan kami. Dia seorang yang sangat lembut apabila menasihati saya dan adik. Sejak kecil abah selalu cakap yang dia yakin saya boleh jadi doktor. 

“Sepanjang hidupnya dia tidak pernah mengeluh mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Walaupun saya nampak dia sangat penat dan sakit,” ujarnya kepada mStar Online.


                                   Allahyarham Mr Os meninggal dunia pada 8 April 2016.

Allahyarham Mr Os meninggal dunia pada 8 April 2016 di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru.

Syafiqa merupakan anak sulung daripada dua adik beradik ini merupakan perkahwinan kedua Allahyarham.

Allahyarham turut mempunyai lima lagi cahaya mata dan dua cucu dengan perkahwinan pertama.

Syafiqa menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura Mesir dengan keputusan cemerlang Januari lalu.

Biarpun bapanya tidak sempat melihat kejayaan itu, Syafiqa berkata, dia berniat segala pahala ketika berkhidmat sebagai doktor nanti diberikan kepada bapanya.

“Dia tidak dapat melihat kejayaan saya dan saya juga tidak dapat membalas jasanya menjadikan saya seorang manusia. Jadi saya berniat semua pahala saya sepanjang berkhidmat sebagai doktor ini diberikan kepada abah dan ibu.

“Itu janji saya kepada diri sendiri kerana tanpa abah dan ibu saya bukan siapa-siapa,” ujarnya.

Syafiqa tamat pengajian selama enam tahun di Mesir.

Dalam pada itu, Syafiqa berkata, pelbagai dugaan dilalui sepanjang enam tahun pengajiannya di Mesir.

Berbekalkan, kata semangat Allahyarham bapanya, dia tidak pernah putus ada dan teruskan pengajian.

“Enam tahun masa yang agak panjang dan memang ada rintangannya tapi setiap hari ketika arwah masih hidup dia akan bertanya khabar dan hantar gambar bersama ibu. Pesanan terakhirnya minta saya habiskan pengajian walau apa yang berlaku dan ketika itu dia sedang tenat,” ujarnya.

Selain berlakon, kerjaya Mr. Os semasa hayatnya ialah pemandu teksi.

Mr Os

Artikel Lain