suria

Niat Memey Suhaiza nak bertemu Lana Nodin dan anak dimakbulkan

Memey meminta pengikut di laman sosial mendoakan anak kedua Lana yang kini berada di ICU.

PELAKON Memey Suhaiza bersyukur apabila niat dia untuk bertemu dengan pelakon Lana Nodin dan anak kedua aktres itu dimakbulkan Allah.

Memey, 30, berkata dia terserempak dengan Lana ketika menemani suami Norman Hakim ke Institut Jantung Negara atas urusan mengambil ubat bapa mertuanya.

Malah, Memey juga berkesempatan melihat anak kedua Lana, William Daud Mckienzie yang mengalami masalah injap atau aortic stenosis sejak dilahirkan dua bulan lalu, di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Teman suami ambil ubat untuk ayah kat IJN... Niat dari rumah kalau boleh nak jumpa kak Lana sebab tahu situasi anaknya.

Memey bersyukur bertemu dengan Lana sekeluarga.

"Tapi tak ada nombor telefon. Tak tahu macam mana nak berhubung. Kuasa Allah... Masuk sahaja pintu IJN, terus nampak pasangan cantik dan kuat @lananodinmckienzie.

"Selesai urusan ubat ayah dan kak Lana bawa jumpa bayinya dekat ICU. Kita sama-sama doakan semoga baby William Daud McKienzie kuat dan cepat sembuh ya," katanya.

Rata-rata pengikut di laman Instagram Memey turut bersedih dan mendoakan agar bayi lelaki Lana sembuh dengan cepat.

Anak kedua Lana kini berada di ICU.

Menerusi Instastory Lana, dia dan suaminya berdepan detik cemas apabila jantung bayi mereka terhenti selama 10 minit ketika doktor membuat persedian memulakan pembedahan membetulkan injap jantungnya.

Menurut Lana, pembedahan tersebut terpaksa ditangguh antara dua hingga tiga hari lagi dan anaknya kini ditempatkan di ICU untuk melihat perkembangannya dan pemantauan dalam tempoh 48 jam.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 39, berkahwin dengan David atau nama Islamnya Mohd Daud McKinzie pada 15 Mei 2015.

Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Gia Quinn McKienzie yang kini berusia dua tahun.

Memey Suhaiza, Lana Nodin

Artikel Lain