suria

Fitnah leher penuh ‘love bite’, Zara Zya tuntut penulis blog mohon maaf

Zara bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya blog tersebut tidak memadam dan membuat permohanan maaf secara terbuka.

PELAKON Zara Zya telah merujuk kepada peguam peribadinya berkaitan artikel dimuat naik sebuah blog yang dianggap menjatuhkan reputasinya kerana menulis tajuk keterlaluan.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34, berkata tajuk tersebut secara terang-terangan berbentuk fitnah dan penulisnya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Terdapat satu posting bertajuk 'Hari Kekasih Kantoi Leher Zara Zya Penuh Love Bite?' melalui blog KAMI di Facebook yang cuba menjatuhkan reputasi Zara.

"Kenyataan fitnah tersebut langsung tidak berkaitan dengan isi kandungan artikel tersebut. Zara telah dimaklumkan oleh beberapa peminat tentang fitnah tersebut dan terus merujuk kepada peguam peribadi.

"Peguam Zara iaitu Datuk Hifdzi Hamzah telah menyatakan bahawa tajuk tersebut jelas satu bentuk fitnah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang" katanya.

Artikel yang berbentuk fitnah terhadap Zara dan menggunakan gambar Zarina.

Pelakon drama bersiri popular Mona Lisa itu memuat naik paparan artikel tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Selasa.

Menurut Zara, dia meminta pihak blog tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam artikel itu dalam tempoh tiga hari atau bakal diambil tindakan seterusnya.

Bagi Zara, tuduhan tersebut telah memberi gambaran negatif dan kesan buruk kepada imej keluarga dan perniagaannya.

"Tajuk tersebut jelas memberikan gambaran negatif dan menimbulkan salah faham sekiranya pembaca hanya membaca tajuk tanpa membaca isi kandungan seluruhnya.

"Zara meminta blogger tersebut memadamkan posting tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa tiga hari atau Zara akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama baik dan reputasi Zara.

Zara minta tiada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap populariti selebriti untuk kepentingan peribadi.

"Fitnah tersebut turut memberikan kesan buruk kepada imej keluarga dan perniagaan Zara," ujarnya.

Dalam pada itu, Zara berharap tiada lagi pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap populariti selebriti untuk kepentingan peribadi.

Katanya, artikel tersebut juga telah menggunakan foto pelakon Zarina Zainuddin sebagai muka hadapan yang tidak ada kena mengena dengan tajuk.

"Zara berharap pihak-pihak di luar sana tidak mengambil kesempatan di atas populariti seseorang artis untuk kepentingan peribadi.

"Gambar pelakon @zarinazainuddin_ juga dijadikan sebagai muka depan yang tiada kena mengena dengan tajuk blog tersebut," katanya.

Zara Zya

Artikel Lain