suria

42 filem layak rebut trofi Filem Terbaik FFM30

(Dari kiri); Pengarah FFM30, Abd. khalid Maulod, Timbalan Pengerusi Induk FFM30, Khairul Azhar Abu Bakar, Pengerusi Finas, Datuk Samsuni Mohd Nor, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal dan pengacara FFM30, Adibah Noor. Foto: NORAFIFI EHSAN.

SEBANYAK 42 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan bagi merebut trofi Filem Terbaik pada penganjuran Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang bakal berlangsung pada 30 Mac ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25 filem berbahasa Melayu dicalonkan, manakala lapan (Mandarin), tujuh (Tamil) dan dua (Kantonis).

Antara filem dicalonkan pada acara berprestij itu termasuk Munafik 2, A House of Happiness, Paskal, Dukun, Hantu Kak Limah, Sughamaai Subbulakshmi dan Tombiruo.

Turut tercalon adalah One Two Jaga, Operasi X, Guang, Pulang, Polis Evo 2 dan Kutram Seiyal.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah FFM30, Abd. Khalid Maulod pada sidang media yang diadakan pada petang Selasa.

FFM30 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

FFM30 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 malam.

Majlis itu menampilkan Adibah Noor dan Nabil Ahmad sebagai hos mengendalikan FFM30.

Beberapa nama besar seperti Datin Alyah, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Hafiz Suip, Syamel dan Ernie Zakri akan mengadakan persembahan.

Dalam pada itu, FFM30 edisi kali ini mempertandingkan 24 kategori termasuk tiga anugerah khas iaitu Anugerah Penggiat Belakang Tabir, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dan Anugerah Box-Office.

Bagaimanapun kata Abd. Khalid senarai Top 5 bagi setiap kategori dipertandingakan hanya akan diumumkan menerusi sidang akhbar yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Antara kategori dipertandingkan Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Kesan Khas Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Artikel Lain