PELANTIKAN pengarah dan penerbit filem iaitu Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mendapat reaksi pelbagai pihak. Pelakon Nam Ron, 49, yang menggunakan gelaran sebagai Tok Ayah di Instagramnya turut mengakui ramai pembikin filem tidak bersetuju dengan keputusan itu. Bagaimanapun, Nam Ron berkata, dia melihat daripada sudut berbeza bahawa pemerintah yang gagal mampu memberi idea kepada pengiat seni untuk mendapatkan karya yang bagus. "Izinkan Tok Ayah mencelah perihal perlantikan CEO Finas yang baru ni. Keputusan pemerintah melantik CEO ini mendapat tentangan dari pembikin-pembikin filem yang rapat dengan Tok Ayah. Rata-rata mereka tak bersetuju dengan keputusan ini. "Lalu Tok Ayah katakan “bagus la tu, kita perlukan pemerintah yang gagal mentadbir kerana kalau pemerintah cemerlang dan tak lakukan kesilapan kita tak boleh tibai depa mereka dalam karya," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah filem Ahmad Idham dilantik CEO Finas Status Nam Ron di laman sosial Instagramnya pada Khamis. Pada Khamis, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo mengumumkan pengarah dan penerbit filem Ahmad Idham dilantik sebagai CEO agensi itu berkuatkuasa pada Isnin lalu. Dalam pada itu, Nam Ron berkata, sejarah membuktikan karya-karya yang agung dari negara-negara yang gagal pemerintahannya. "Sesungguhnya pelantikan ini satu berita sangat baik untuk kembalikan karya-karya filem ke wadah perjuangan sebenar. Barulah Tok Ayah lebih bersemangat untuk menghasilkan karya lebih keras,"ujarnya.