suria

Pelakon drama Mak Engku dimasukkan ke ICU

Ku Fridah Ku Shafie atau lebih mesra dengan panggilan Mak Engku dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam paru-baru dan darah.

DRAMATIS Ku Fridah Ku Shafie atau lebih mesra dengan panggilan Mak Engku kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Fakulti Perubatan UiTM Kampus Sungai Buloh, Selangor sejak Isnin lalu.

Anak perempuannya, Siti Rohaya Mohd Yusoh, 33, berkata, keadaan ibunya stabil selepas dua hari tenat akibat terkena jangkitan kuman dalam paru-paru serta darah.

"Sebelum ini keadaannya agak membimbangkan sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU namun Alhamdulillah hari ini dia menunjukkan perubahan positif dan stabil.

"Saya masih belum berkesempatan bertemu dengan doktor lagi namun berharap kesihatannya akan kembali pulih seperti sedia kala tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Bercakap lanjut mengenai keadaan ibunya itu, Rohayu berkata, kesihatan ibunya mula terjejas selepas kakinya mengalami bengkak ketika berkunjung ke Melaka dua minggu lalu.

Katanya, dia kemudiannya membawa ibunya ke hospital dan doktor memberitahu ibu sebenarnya mempunyai penyakit diabetes dan punca kakinya bengkak kesan daripada kandungan gula yang tinggi dalam darahnya.

Rakan baik Mak Engku, pelakon Sheila Mambo memaklumkan mengenai keadaannya di Instagram. 

"Sebelum ini ibu memang tidak pernah ada sebarang penyakit malah tidak pernah tahu ada diabetes sehinggalah kami bawanya ke hospital kerana kakinya bengkak.

"Terkejut juga apabila dapat tahu ibu ada diabetes kerana dia memang seorang yang jaga pemakanan selain aktif dalam aktiviti hariannya," katanya.

Tambahnya, selepas dibenarkan pulang ke rumah kesihatan Mak Engku semakin memburuk sebelum dia bergegas membawa ibunya ke hopsital buat kali kedua.

Sebelum ini, pelakon yang juga rakan baik Mak Engku, Sheila Mambo memaklumkan mengenai keadaan Mak Engku di Instagram miliknya dan meminta semua mendoakan kesihatan pelakon itu.

Malah Sheila ketika dihubungi memberitahu sempat menziarah Mak Engku di hospital dan keadaannya sangat lemah.

"Luluh hati saya melihat keadaannya lemah begitu... Saya sudah anggap Mak Engku seperti emak sendiri dan berharap dia kembali sihat seperti sedia kala," ujarnya.

Artikel Lain