suria

Belum hafal lirik, Haqiem Rusli tak yakin nyanyi lagu baharu di 'A Night With Haqiem Rusli'

Haqiem mengadakan showcase bagi menghargai peminatnya. Foto: MUHAMAD SHAHRIL.

PENYANYI Haqiem Rusli tidak dapat menahan air mata daripada mengalir ketika menyanyikan lagu Qiemilio di A Night With Haqiem Rusli yang diadakan pada malam, Jumaat.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 21, dia berasa sebak apabila dirinya dihargai peminat serta keluarga yang tidak jemu menyokongnya sebagai anak seni.

"Saya menangis sebab tengok mak, abah serta peminat dan saya rasa dihargai la. Itulah perasaan bila seorang anak seni dihargai peminatnya.

"Kalau sesiapa yang berada di tempat saya pun akan rasa sebak dengan sokongan yang peminat berikan," kata Haqiem kepada mStar Online.

Haqiem ditemui selepas tamat showcase pertamanya A Night With Haqiem Rusli di Dewan Tunku Abdul Rahman (MaTic), Kuala Lumpur pada malam, Jumaat.

Haqiem dilihat tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Foto: KAKIFOTO

Showcase yang berlangsung selama lebih dua jam itu dihadiri seramai 400 peminat yang teruja melihat persembahan penyanyi kesayangannya mereka itu.

Peminat dihiburkan dengan beberapa buah lagu popularnya iaitu Jatuh Bangun, Tergantung Sepi dan Selamat Tinggal Sayang.

Malah, Haqiem juga pertama kali menyanyikan lagu terbaharu yang dilancarkan pada Khamis lalu iaitu What Can I Do For You.

Selain itu, Haqiem turut mempersembahan lagu nyanyian asal Slam berjudul Gerimis Mengundang dan lagu Seniman Menangis nyanyian Datuk Jamal Abdillah.

Sebahagian daripada hasil penjualan tiket tersebut disumbangkan kepada pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmad.

Dalam pada itu, Haqiem mengakui dia belum ada keyakinan untuk menyanyikan lagu Inggeris terbaharunya itu secara langsung.

Foto kenangan Haqiem bersama peminat yang hadir. Foto: KAKIFOTO.

Kata Haqiem, dia hanya berlatih untuk showcase tersebut dalam masa yang singkat disebabkan sudah terikat dengan kerja lain.

"Saya jujur saya tak yakin nak menyanyi lagu What Can I Do For You itu secara langsung. Sebab itu saya menggunakan minus one yang ada juga suara saya.

"Lagu itu masih baru dan saya sendiri tak hafal lirik dia. Sejujurnya saya buat latihan untuk showcase ini sangat singkat. Tiga hari sebelum ini, saya ada persembahan di Kedah.

"Jadi hanya dalam masa sehari dua sahaja dapat berlatih disebabkan sudah terikat dengan persembahan di tempat lain," ujarnya.

Lagu ciptaan Haqiem dan Shazee itu kini sudah mencecah lebih 236,000 tontonan dan trending di Youtube.

Haqiem Rusli

Artikel Lain