suria

Tidak ambil serius gosip rumah tangga bermasalah, Keith Foo dan isteri sedang bahagia

Keith dan isteri tidak kisah dengan berita mengenai rumah tangganya.

PELAKON Keith Foo memberitahu dia tidak mengambil serius apabila timbul desas-desus mengatakan rumah tangganya sedang mengalami masalah.

Sebaliknya kata Keith, 36, hubungannya dengan isteri, Kim Raymond berada dalam keadaan baik malah sedang melalui fasa terbaik dalam hidup disamping anak perempuan mereka, Syklar Raymond Foo ketika ini.

"Bila isu ini timbul sejujurnya kami biasa sahaja, tak kisah pun. Apa yang saya lalui sekarang ini adalah masa terbaik dalam hidup saya.

"Saya dan isteri, hubungan kami sangat baik. Tiada gaduh-gaduh seperti digembar-gemburkan. Paling penting anak kami dalam keadaan gembira.

Keith dan Kim melalui masa yang terbaik dalam kehidupan mereka.

"Apa yang orang tafsirkan atau 'membawang' mengenai kami, saya dan Kim okey sahaja," katanya kepada mStar Online.

Keith ditemui ketika malam kemuncak Festival Filem Malaysia 30 (FFM30) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu.

Status rumah tangga Keith dan Kim mula menjadi tanda tanya selepas pasangan itu dilihat jarang berkongsi gambar bersama di laman sosial sejak awal tahun ini.

Dalam pada itu, Keith tidak menafikan setiap pasangan yang berkahwin tidak dapat lari daripada masalah termasuk dalam rumah tangganya.

Keith mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Skylar.

Katanya, sudah menjadi kelaziman bagi pasangan suami-isteri melalui cabaran dalam kehidupan dan mengambil perkara itu sebagai pengalaman dalam mematangkan diri mereka.

"Dalam kehidupan kita akan lalui pelbagai cabaran tapi kita kena menghadapinya serta belajar daripada pengalaman itu, begitu juga dalam rumah tangga.

"Bagi saya orang yang sudah berkahwin, masih solo mahupun bercerai tentunya akan menghadapi masalah," ujarnya.

Keith dan Kim berkahwin pada 2015 dan dikurniakan cahaya mata, Skylar Raymond Foo yang kini sudah berusia dua tahun.

Artikel Lain