suria

Masalah suara Noryn Aziz tak jejas Konsert Soul Sisters

PENYANYI Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz menahan sebak apabila mengenangkan pelbagai ujian yang terpaksa mereka lalui bagi menjayakan Konsert Soul Sisters.

Misha atau nama sebenarnya Samiha Omar, 37, berkata, mereka hampir berasa putus asa apabila gagal memberikan nyanyian terbaik semasa sesi latihan.

“Saya dan Sarah pernah rasa hampir putus asa apabila gagal untuk memberikan nyanyian terbaik semasa sesi latihan.

“Namun Noryn sebagai penyanyi berpengalaman sentiasa sabar dan memberikan dorongan buat kami berdua untuk mencapai tahap nyanyian yang dimahukan.

Persembahan memukau penonton.

“Latihan vokal bukan sesuatu yang mudah dan tidak mungkin dapat dikuasai dalam tempoh beberapa hari,” ujarnya.

Mereka ditemui pada sidang media selepas persembahan Konsert Soul Sisters khas buat media yang diadakan di Istana Budaya pada malam Khamis.

Dalam pada itu, penyanyi Noryn memberitahu dia berdepan dengan masalah suara dan tidak dapat memberi persembahan terbaik pada konsert tersebut.

Penonton terpukau dengan persembahan tiga suara Noryn Aziz, Siti Sarah dan Misha Omar.

“Suara saya sedikit terganggu, namun saya akan cuba memberikan persembahan terbaik untuk malam esok dan lusa.

“Sarah dan Misha adalah semangat terkuat saya untuk menyajikan konsert ini,” ujarnya.

Konsert Soul Sisters akan berlangsung selama dua hari iaitu 5 hingga 6 April di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert anjuran Edd Razhe Entertainment ini bakal mempersembahkan 35 buah lagu hit tiga penyanyi popular tersebut.

Artikel Lain