suria

Niat nak sindir Kak KM, tapi Caprice disalah anggap sokong penari separuh bogel

Caprice terima mesej daripada netizen yang salah anggap dengan video mengenai kakak kepada Ahya iaitu Kak KM.

PENYANYI rap Caprice dihujani mesej daripada netizen yang menyangka dia menyokong persembahan tarian separuh bogel dalam majlis perkahwinan anak dramatis veteran, Normah Damanhuri Sabtu lalu.

Jelas Caprice kekeliruan itu muncul selepas kakak kepada aktor Ahya Rosli iaitu Liana Rosli membuat tagging pada Instastory miliknya.

Bagaimanapun Caprice, 31, menjelaskan dia sama sekali tidak menyokong aksi penari separuh bogel pada majlis itu lebih-lebih lagi ia bertentangan dengan budaya masyarakat melayu dan Islam.

"Tiba-tiba ramai followers Kak KM puji dan DM (direct message) saya cakap fasal support. Saya pelik bila masa pula saya sokong?

"Rupa-rupanya mereka tersalah faham dengan mesej yang saya cuba sampaikan dalam video ulasan mengenai isu itu. Saya tak nak sesiapa salah faham atau menganggap saya setuju dengan apa yang dia dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Persembahan itu hanya hiburan” – Ahya dikecam saji tarian separuh bogel di majlis resepsi

ARTIKEL BERKAITAN: “Paperdoll itu sepatutnya menari tarian tradisional” - Normah Damanhuri mohon maaf


Caprice dedah mesej Kak KM di Instagramnya.

"Saya sekerasnya menyatakan memang perkara begitu tak sesuai untuk majlis kahwin," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Terdahulu, Caprise memuat naik paparan skrin Liana Rosli atau lebih popular dengan nama Kak KM yang tersalah anggap mesej disampaikan Caprice menerusi video di Instagram.

Dalam video itu, Caprice menyindir persembahan separuh bogel semasa majlis resepsi Ahya dan pasangannya, Shahirah Sanusi.

Bercakap menggunakan bahasa Inggeris, Caprice menyatakan setiap individu mempunyai hak untuk mengadakan majlis mengikut kehendak masing-masing namun dalam masa sama dia menyatakan hanya akad nikah yang wajib dalam Islam.

"Sebenarnya saya cuba menyindir mereka untuk beritahu seharusnya lebih berhati-hati untuk buat majlis. Tujuan saya untuk buat mereka berfikir.

"Sebenarnya saya memang tak sokong aksi menari seksi di majlis perkahwinan itu. Sebab perkara tu memang tak sesuai dengan budaya kita. Ada ramai budak-budak, orang tua dan saya sengaja selitkan mesej fasal kehidupan manusia yang sementara... tak sangka mereka boleh tersalah faham.

Majlis persandingan Ahya menjadi perbualan hangat disebabkan tarian tidak senonoh.

"Seram dan sedih tengok sebab ada budak kecil dan orang tua tapi buat tarian begitu. Bila buat majlis kita kena hati-hati dengan apa yang kita nak sampaikan. Sepatutnya mereka buat tarian macam tu dekat kelab malam," ujarnya.

Sabtu lalu, tular rakaman video persembahan seorang lelaki menyerupai wanita dengan imej separuh bogel menari ketika majlis resepsi Ahya dan pasangannya.

Aksi tidak senonoh itu menjadi bualan hangat netizen yang rata-ratanya mempersoalkan tindakan Ahya menjemput penari tersebut yang dianggap tidak sesuai untuk majlis perkahwinan.

Dalam pada itu, ibu kepada Ahya yang juga dramatis, Normah Damanhuri tampil memohon maaf di atas kekhilafan pihaknya berhubung hal tersebut.

Kak KM, Caprice, Ahya Rosli

Artikel Lain