PENYANYI Zamani memberitahu dia kini berehat sebulan bagi menjalani rawatan masalah tulang belakang melengkung atau penyakit skoliosis sepanjang bulan Ramadan pada Mei depan. Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 48, berkata dia juga mungkin menjalani pembedahan dan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). “Insya-Allah sepanjang bulan Ramadan ini saya akan bercuti tanpa mengambil sebarang tawaran. Saya mahu menjalani rawatan untuk masalah tulang belakang bengkok. “Sebelum ini tidak berkesempatan untuk melakukan sebarang rawatan disebabkan rezeki tidak pernah putus. Tapi pernah berjumpa doktor di Hospital Kuala Lumpur. “Doktor beri dua pilihan sama ada saya mahu menjalani pembedahan atau buat rawatan. Ada yang cadangkan rawatan di HUKM, jadi mungkin saya akan ke sana,” katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Aduh’ cinta Zamani tidak kesampaian ARTIKEL BERKAITAN: Kesihatan kurang baik, Zamani tak tahu sampai bila boleh menyanyi Zamani lancar lagu baharu berjudul Aduh. Zamani ditemui ketika majlis pelancaran video muzik dan video karaoke single terbaharunya berjudul Aduh di Red Box, The Gardens Mall, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu. Sebelum ini, vokalis kumpulan Slam ini mendedahkan dia sudah lama berhadapan dengan masalah tulang belakang bengkok sehingga menganggu kesihatannya. Dalam pada itu, bercakap tentang lagu baharu Aduh, Zamani mengakui dia mengambil masa untuk melakukan perubahan pada suaranya demi mengikut kesesuaian lagu dan peredaran masa. “Saya rakam lagu itu sebanyak tiga kali sebab nak lakukan perubahan pada tone suara tu agak susah. Selama ini saya dah biasa dengan suara biasa tapi kali ini kena tukar lain sikit. “Saya lakukan perubahan ini disebabkan dah kena bersedia dengan perubahan supaya dapat sesuai dengan lagu itu dan ikut peredaran masa. “Walaupun ada berubah tapi saya masih kekalkan identiti Zamani. Bukan nak jadi orang lain tapi masih menjadi diri sendiri,” ujarnya.