suria

“Kejadian wanita rogol lelaki meningkat, undang-undang boleh dicabar” - Pengarah Nur 2 ulas babak ‘Juita’ ditahan kerana merogol Adam

Shahrulezad akur teguran pengamal undang-undang

PENGARAH dan penulis skrip drama sensasi Nur 2, Shahrulezad Mohameddin menerima teguran seorang peguam mengenai kecelaruan undang-undang yang dipaparkan dalam episod terakhir drama tersebut Khamis lalu.

Shahrulezad bagaimanapun berharap agar isu 'perogol wanita' yang disajikan dalam Nur 2 bakal membuka mata pihak berwajib tentang undang-undang yang dirasakannya kurang adil.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami sajikan realiti tapi penonton tak boleh terima” - Pengarah Nur 2

"Saya akui apa yang dikatakan peguam terbabit adalah benar dan ia termaktub dalam undang-undang yang terpakai dalam negara ini. Namun saya merasakan undang-undang mungkin boleh dicabar dan saya telah membaca klausa undang-undang berkaitan sebelum pengambaran Nur 2 bermula.

"Siapa tahu jika ada Nur 3 kelak saya mungkin menceritakan watak perogol wanita iaitu Juita dibebaskan tanpa hukuman dan watak Ustaz Adam pula mencabar hukuman mahkamah bagi mempertahankan dirinya.

Shahrulezad harap undang-undang boleh diubah.

“Saya tidak berniat untuk mempersoalkan undang-undang, namun kejadian wanita merogol lelaki sudah semakin meningkat di dunia nyata, mungkinkah Ustaz Adam bakal menjadi lelaki pertama dari Malaysia yang bakal mencabar undang-undang rogol tersebut?” kata Shahrulezad kepada mStar.

Pemenang trofi kategori Pengarah Pilihan dan Penulis Skrip Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) bagaimanapun mengakui babak pihak polis menahan watak Juita sambil mengeluarkan dialog "Cik Juita, anda ditahan atas tuduhan merogol" adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dalam proses penghasilan skrip.

"Ya saya akui itu adalah kesilapan kecil, sepatutnya pihak polis hanya mengeluarkan dialog berbunyi " Cik Juita, anda ditahan" namun ia disajikan bagi menampakkan unsur dramatik dalam drama tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Isu kesalahan guna pakai undang-undang yang disajikan dalam Nur 2 menjadi bualan di media sosial apabila seorang peguam menerusi Facebook, Nor Zabetha, memberi pandangan tentang kecelaruan yang berlaku.

Individu itu mendakwa tidak pernah dalam sejarah Malaysia seorang wanita ditahan atau didakwa kerana merogol seorang lelaki.

Perkongsian seorang peguam di Facebook mengenai jalan cerita Nur 2

“Sepanjang 10 tahun saya beramal sebagai peguam juga tidak pernah saya mendengar kes ini. Babak Juita ditahan kerana merogol seorang lelaki adalah salah sama sekali.

"Kenapa? Dalam Kanun Keseksaan memberi pendefinisian rogol dibawah Seksyen 375 iaitu seorang lelaki dikatakan merogol apabila melakukan hubungan seks dengan wanita tanpa kerelaaannya atau tanpa kebenarannya,” ujarnya.

Tambahnya, dalam kes itu Juita tidak memenuhi elemen pertama iaitu pelaku seorang lelaki.

Polis tidak akan mengambil tindakan kerana perbuatan Juita tidak jatuh kategori rogol berdasarkan Kanun Keseksaan.

nur 2

Artikel Lain