PELAKON dan penyanyi Linda Rafar memberitahu hatinya tidak tenang walaupun sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan kecaman sehingga menjejaskan reputasinya di laman sosial.
Linda berkata, sempena bulan Ramadan ini, dia mengamil kesempatan untuk memohon maaf berhubung isu buli siber sehingga dia mengambil tindakan undang-undang kepada lebih 100 netizen.
"Walaupun tindakan telah diambil tetapi hati saya tetap berasa tidak tenang. Sempena bulan suci ini saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf jika ada menyakiti anda sama ada secara sengaja atau tidak.
"Saya juga memaafkan kesemua mereka yang pernah meminta maaf kepada saya. Tiada siapa yang hebat di atas muka bumi allah ini dan tidak salah jika kita yang ikhlas memohon maaf dahulu serta lupakan segala kisah.
"Allah maha melihat... segala kebaikkan dan keburukkan dicatit dan tidak ada satu pun yang akan terlepas. Dunia sementara akhirat selamanyaa. Satu hari kita akan kembali kepadaNya," ujarnya.
Linda menerusi sidang media sebelum ini telah mengambil tindakan ke atas lebih 100 netizen yang memfitnahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Dibuli’ isu fitnah jururawat... 100 netizen berdepan saman Linda Rafar
ARTIKEL BERKAITAN: DON mahu saman malu Linda Rafar kerana didakwa fitnah jururawat
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen kutuk Linda Rafar isu hina jururawat akhirnya tampil mohon maaf
Linda memberitahu perkara itu menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Rabu.
Januari lalu, Linda memfailkan saman terhadap lebih 100 netizen gara-gara pelbagai kecaman dan penghinaan yang dilemparkan terhadapnya kontroversi melibatkan seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan.
Linda berkata, pada sidang media yang di lakukan pada Januari lalu, dia berasa terlalu marah, terhina dan sedih dengan kontroversi yang berlaku sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.
Katanya apa yang dilakukan itu kerana terlalu mengikutkan hati yang penuh kebencian.
"Ketika sidang media sebelum ini saya berasa amat marah, dikhianati, terhina dan sedih.
"Walaupun ibu sudah pergi menghadap ilahi tetapi perbuatan buli siber terhadap saya tidak juga berhenti.
"Hati saya penuh dengan kebencian sehingga peguam saya terpaksa menghantar ratusan notis kepada mereka yang telah memfitnah saya di laman sosial.
"Ada segelintir mereka yang dm (direct message) minta maaf dan saya sudah memaafkan mereka. Tapi ada diantara mereka yang sudah melampau dan saya tak boleh nak bantu, demi menjaga reputasi saya," katanya.