suria

Seronok jumpa keluarga dan kawan lama, Khai Bahar beraya di Perlis

Khai beraya di Perlis.

SEHARI sahaja lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal dan ramai mengambil kesempatan meraikan Aidilfitri bersama insan tersayang di kampung halaman masing-masing.

Bagi penyanyi Khai Bahar, Hari Raya Aidilfitri merupakan peluang untuknya merapatkan hubungan kekeluargaan dan bertemu sanak saudara yang terpisah jauh.

"Hari raya merupakan waktu paling sesuai untuk kita bertemu saudara-mara dan rapatkan hubungan dengan mereka yang tinggal berjauhan.

"Insya-Allah, raya kali ini saudara-mara saya dari Johor akan datang beraya bersama kami di Perlis. Tak sabar rasanya untuk bertemu mereka.

Khai bersama ibu dan adik tersayang.

"Selain itu, hari raya juga merupakan waktu terbaik untuk saya berjumpa kawan-kawan di kampung yang dah lama tak berhubung," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Khai Bahar berkata semenjak dia bergelar artis, kediaman keluarganya itu sentiasa menerima kunjungan orang ramai terutamanya para peminat.

"Pengalaman raya sebelum ini, dari hari pertama sampai hari keempat, orang datang memang tak putus-putus. Meriah sungguh!

Khai bakal muncul dengan album baharu tidak lama lagi.

"Keluarga sudah terbiasa dengan suasana itu dan mereka menerima kedatangan tetamu dengan hati terbuka," katanya yang akan bercuti di kampung halaman selama seminggu.

Bercakap mengenai perkembangan seni, Khai memaklumkan dia bakal melancarkan album baharu memuatkan 11 buah lagu tidak lama lagi.

"Ikutkan perancangan selepas raya ini saya akan keluarkan album baharu yang mengandungi 11 buah lagu termasuklah lima lagu baharu berjudul Air Mata, Dia, Menyesal, Penantian dan Keranamu," ujarnya.

Khai Bahar

Artikel Lain