suria

“Yeop sayang kau Jep” - Adik Afdlin Shauki meninggal dunia selepas terlibat kemalangan

Adik Afdlin meninggal dunia pada petang Rabu.

PELAKON Datuk Afdlin Shauki berkongsi berita sedih apabila adiknya Jefri Adzman yang terlibat dalam kemalangan Ahad lalu meninggal dunia pada Rabu.

Afdlin menerusi laman sosial berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira 5.14 petang di sebuah pusat perubatan di Damansara.

"Adik lelaki saya, Jefri Adzman Bin Aksan telah pulang ke rahmatullah pada hari ini, pukul 5.14 petang di Hospital Thomson Kota Damansara.

"Moga rohnya ditempatkan di kalangan roh-roh orang yang beriman," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ya Allah kau selamatkanlah adik aku, Jefri” - Adik Afdlin Shauki terlibat dalam kemalangan

Allahyarham terlibat dalam kemalangan di Kota Damansara ketika keluar membeli sesuatu di Petronas berhampiran rumah.

Menurut Afdlin, adiknya yang menunggang vespa dipercayai dilanggar sebuah kereta Myvi dari arah tepi.

Afdlin berkongsi berita sedih di Instagram pada Rabu.

Akibat pelanggaran, mangsa terpelanting dan mengalami cedera parah di kepala lalu dikejarkan ke sebuah hospital di Kota Damansara.

Dalam pada itu, Afdlin memohon orang ramai menghubunginya jika terdapat hutang adiknya yang masih belum dijelaskan.

"Pada yang mengenali adik saya, saya memohon maaf segala kesilapan beliau dan halalkan makan dan minum beliau.

"Jika adik saya ada berhutang dgn sesiapa, boleh lah sekiranya menghubungi saya.

"Sekarang adik dah boleh jaga mak In Shaa Allah di jannah. Tak aci korang dah bersama. Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami jep... Yeop sayang kau Jep" ujarnya.

Afdlin Shauki

Artikel Lain