suria

“Bercakap pun macam tak betul” - Baru diserang 'mild strok', Kartina Aziz dah 'ready' masuk set penggambaran

Kartina ditahan wad selama sehari di Hospital Sungai Buloh akibat diserang 'mild strok'.

BERMULA dengan masalah percakapan, pelakon veteran Kartina Aziz akhirnya disahkan mengalami serangan angin ahmar ringan atau mild strok.

Mengakui terkejut dengan perkara itu, Kartina, 64, tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika doktor memaklumkan penyakit itu namun reda dengan dugaan yang diterima.

"Saya memang terkejut sebab tak ada alami tanda-tanda nak kena strok memandangkan fizikal dan keadaan kesihatan baik sahaja.

"Selama ini pun saya sentiasa menjaga pemakanan. Saya menangis ketika doktor beritahu saya mengalami mild strok.

Kartina kini dalam keadaan baik.

"Saya kena reda dengan ujian Allah, anak pun minta saya kuat dan paling penting kena sentiasa positif," kata Kartina kepada mStar.

Pelakon yang dikenali menerusi watak Mami Jarum itu dibenarkan pulang selepas ditahan sehari di Hospital Sungai Buloh pada Khamis.

Kartina memberitahu dia menyedari percakapannya tidak teratur dan berasa lemah badan selepas waktu subuh pada Khamis.

"Pagi itu saya rasa susah nak bercakap, berat mulut... bercakap pun macam tak betul," katanya.

Dalam pada itu, doktor menasihatkan Kartina perlu membuat latihan percakapan yang banyak selain memerlukan rehat secukupnya.

Saya terkejut sebab tak ada alami tanda-tanda nak kena strok memandangkan fizikal dan keadaan kesihatan baik sahaja.

KARTINA AZIZ

Tambah Kartina, biarpun dirinya masih dalam rawatan namun terpaksa kembali bekerja kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan barisan pelakon lain.

"Sekarang ini saya masih menjalani rawatan tapi doktor suruh berehat di rumah sahaja. Saya perlu buat latihan percakapan yang baik.

"Esok (Sabtu) saya kena masuk set penggambaran semula sebab tak nak susahkan sesiapa. Harap semua boleh doakan saya supaya sihat," ujarnya.

Kartina kini masih terlibat dalam penggambaran drama Utusan Cinta Buat Adam.

Kartina Aziz

Artikel Lain