suria

Yatt Hamzah resah tak dapat hubungi suami - “Tolong doakan suami saya...”

Yatt masih menantikan perkembangan terkini suami dan rakan-rakannya yang dikatakan mencuba untuk keluar dari pintu Rafar pada pagi tadi. Foto Instagram: @yatthamzah.

PELAKON Yatt Hamzah bersyukur delegasi misi #wakeupforGaza yang turut disertai suaminya, Mohd Zulfadhli Khiruddin dan rakan artis yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi tidak ditahan tentera Israel.

Sebaliknya kata Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 39, misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu terperangkap hingga terlepas penerbangan pulang ke Malaysia selepas ditahan tentera Mesir di pintu sempadan Rafah sejak Rabu malam.

Menurut Yatt, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya melalui aplikasi Whatsapp bagi memaklumkan keadaan terkini mereka adalah pada pukul 2 pagi, Khamis.

"Suami hubungi saya pukul 2 pagi tadi dan menurutnya, selepas ditahan beberapa jam mereka diarahkan untuk bermalam di sempadan atau berpatah balik ke Gaza.

"Disebabkan kawasan itu tidak mempunyai apa-apa kelengkapan serta keperluan, mereka terpaksa kembali ke Gaza untuk tidur semalaman dan cuba untuk keluar pagi ini.

Yatt sebelum ini berkongsi keadaan suami dan rakan-rakannya yang ditahan di pintu Rafar di laman Instagramnya.

"Sehingga kini, saya masih belum terima apa-apa perkembangan. Mungkin disebabkan kawasan terbabit tidak mempunyai talian untuk dihubungi," katanya kepada mStar.

Disebabkan penahanan tersebut, suaminya yang juga Pengarah Media Mapim bersama tujuh sukarelawan termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Hazwani terlepas penerbangan pulang ke Malaysia.

Mereka yang menyertai misi kemanusiaan #wakeupforGaza bagi membantu rakyat Palestin pada 8 Julai lalu sepatutnya pulang dan dijangka sampai ke Malaysia pada pukul 10.10 malam, Khamis.

Yatt sebelum ini aktif dalam misi kemanusiaan di Gaza memberitahu dia juga pernah ditahan berpuluh-puluh jam di pintu Rafah pada 2013.

Heliza dan adiknya, Hazwani antara sukarelawan yang turut ditahan tentera Mesir.

Sehubungan itu Yatt meminta orang ramai mendoakan keselamatan dan kelancaran urusan suami dan anggota delegasi yang lain agar pulang ke Malaysia dengan selamat.

"Sebelum ini saya pernah melalui situasi yang sama apabila ditahan berpuluh-puluh jam di pintu Rafah pada 2013 tapi mungkin sekarang, keadaan di sana sudah berbeza.

"Menurut suami, mereka tidak dibenarkan keluar atas faktor cuaca tapi saya sendiri tak pasti apa punca sebenar dan keadaan dekat sana.

"Saya mohon semua pihak sama-sama berdoa agar mereka dapat melepasi sempadan itu dan boleh pulang ke Malaysia dengan selamat," ujarnya.

Yatt Hamzah, wakeupGaza, Heliza Helmi

Artikel Lain