suria

“Tak terfikir bawa jurusolek pergi honeymoon” - Nadia Brian terkejut dikaitkan isu minta tajaan bulan madu

Nadia dan Muizz bakal berkahwin November depan.

PELAKON Nadia Brian terkejut apabila dikaitkan sebagai pelakon wanita yang meminta tajaan berbulan madu daripada sebuah agensi pelancongan seperti yang tular di media sosial pada Isnin.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, berkata, dia dan bakal suami belum lagi terfikir untuk berbulan madu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak masuk akal! Pelakon wanita didakwa minta tajaan bulan madu beserta duit bayar jurusolek

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen tanya kenapa tak buat majlis kahwin di rumah sendiri? Ini komen Nadia Brian!

"Saya tak terfikir pun lagi soal honeymoon bagaimana mereka boleh kaitkan saya dalam hal ini?

"Sekalipun kami merancang untuk honeymoon, tidak sampai nak minta orang taja bulan madu kami.

"Melainkan ada orang yang nak hadiahkan kepada saya dan bakal suami, Alhamdulillah, saya terima," katanya kepada mStar.

Antara kenyataan yang dimuat naik pemilik syarikat ejen pelancongan di Insta story miliknya pada Isnin.

Selain itu, Nadia menganggap perkara tersebut sebagai lucu dan tidak terlintas untuk membawa jurusolek serta pembantu peribadi berbulan madu.

Tambahnya lagi, dia juga tidak akan meminta tajaan daripada mana-mana pihak untuk menaja bulan madunya sebaliknya lebih memilih sesuatu yang mengikut kemampuan sendiri.

Saya tak terfikir pun nak bawa pembantu peribadi atau jurusolek untuk ikut pergi honeymoon.

NADIA BRIAN

PELAKON

"Untuk minta tajaan honeymoon itu bukan saya. Saya juga tak terfikir pun nak bawa pembantu peribadi atau jurusolek untuk ikut pergi honeymoon.

"Tak dinafikan bulan madu sekali seumur hidup... tetapi tak perlulah nak ada target yang besar kerana nanti kita balik yang tertekan.

"Paling penting, ia haruslah mengikut kemampuan diri sendiri. Tak perlu nak ikut-ikut orang," ujarnya.

Nadia bakal menamatkan zaman bujang bersama  tunangnya, Muizz tidak lama lagi.

Terdahulu, pemilik syarikat ejen pelancongan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap permintaan seorang pelakon wanita yang meminta bayaran tambahan selain bulan madunya ditaja penuh agensi berkenaan.

Selain menanggung kos penginapan, tiket penerbangan dan pengangkutan yang dianggarkan berjumlah RM20,000, aktres terbabit dikatakan turut meminta bayaran sebanyak RM1,000 bagi membayar khidmat jurusolek tidak termasuk promosi di laman sosial miliknya.

Bagaimanapun, nama Nadia terpalit dengan isu berkenaan kerana dia salah seorang pelakon wanita yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Nadia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan Muizz Nasruddin pada 9 November depan selepas menunda tarikh yang pada awalnya dirancang 19 September.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 4 Mei lalu.

Kedua-duanya berkenalan selama dua tahun dan Muizz melamarnya di Kota Paris pada Februari 2019.

Nadia Brian, taja, bulan madu

Artikel Lain