PELAKON Soffi Jikan dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah pada Februari tahun lalu. Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir perbicaraan. ARTIKEL BERKAITAN: Misteri air kencing Sofi Jikan positif ganja, “Saya terkejut, tak pasti ada mengambil bahan terlarang atau tidak” Sofi Jikan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan. Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 49, dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pelakon KL Gangster itu diwakili Peguam Datuk Haniff Hassan kemudian merayu agar diberikan penangguhan hukuman tersebut. Majistret Mohamad Ikhwan kemudian membenarkan pelaksanaan penangguhan itu dengan syarat wang jaminan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM3,000 sebelum ini. Pada 13 Februari tahun lalu, Sofi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 - nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya. Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, jam 11.15 malam pada 6 Februari 2018. - Bernama