suria

“Tiada pakej buy one free one atau seorang setengah” - Johan dan Ozlynn tak main kongsi-kongsi, ada harga sendiri

Johan dan Ozlynn meletakkan harga berbeza dalam hal berkaitan kerjaya. Foto Instagram @jozlynnhanania

"TIADA istilah buy one free one," demikian tegas pelawak dan pelakon, Johan Raja Lawak mengenai bayaran bagi setiap tawaran lakonan untuk dia dan isterinya, Ozlynn.

Menurut Johan, dia dan Ozlynn tidak pernah mengamalkan istilah pakej atau kongsi bayaran biarpun mereka muncul dalam sebuah karya yang sama.

"Harga bayaran saya dan isteri memang berbeza. Jika nak tawarkan kami berdua berlakon dalam filem atau drama yang sama, saya ada harga saya sendiri dan begitu juga dengan Ozlynn.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan jadi perosak, beli jiwa mereka”- Ozlynn akui Johan mahir dalami hati anak-anak

"Kami tidak pernah amalkan istilah pakej seperti 'buy one free one' atau bayar dengan hanya satu harga kemudian dibahagikan untuk saya dan Ozlynn," kata Johan kepada mStar.

Johan dan Ozlynn meletakkan harga bayaran berbeza meskipun keduanya muncul dalam karya sama.

Johan dan Ozlynn ditemui ketika sidang media teater Malayu - Pawana Isabella di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyampai radio ini mendedahkan dia menerima tawaran berlakon teater arahan Erma Fatima selepas dipujuk beberapa kali oleh pengarah itu yang pada mulanya mengatakan ia sekadar pementasan ringan dan menyeronokkan.

Bagaimanapun, Johan menyedari dia 'ditipu' Erma pada hari pertama sesi latihan apabila mendapati teater tersebut bukan seperti yang digambarkan, sebaliknya ia merupakan teater bangsawan moden.

"Sejak awal tahun ini, Erma dah beberapa kali tawarkan saya berlakon dalam teater arahannya dan setiap kali itu juga saya cuba mengelak daripada bertembung dengannya... tapi akhirnya kami berjumpa pula di bazar Ramadan.

Barisan pelakon dan pengarah teater Malayu - Pawana Isabella yang akan dipentaskan di Istana Budaya.

"Selepas dipujuk beberapa kali, saya pun terima tawaran dia yang pada mulanya dikatakan hanya pementasan yang ringan dan sekadar seronok-seronok sahaja. Dia pun ada ajak Ozlynn berlakon sekali dan isteri saya pun setuju.

"Hari pertama saya dan isteri datang sesi latihan, dalam lift kami terkejut apabila melihat lokasi latihan itu untuk teater bangsawan moden bukan seperti yang dikatakan Erma pada mulanya.

"Rupa-rupanya saya dan Ozlynn kena 'tipu' dengan Erma tapi disebabkan sudah terima tawaran itu, kami tetap lakukan dan menganggap ia satu cabaran," ujarnya.

Selain Johan dan Ozlynn, teater arahan Erma Fatima bersama pengarah muda, Naque Ariffin turut dibintangi Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi dan ramai lagi yang akan mula dipentaskan bermula 21 hingga 31 Ogos ini di Istana Budaya.

Johan, Ozlynn

Artikel Lain