suria

Sakit kepala dan hilang selera makan, Feeya Iskandar dijangkiti Influenza B

Feeya Iskandar dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas berpanjangan.

PENYAMPAI Radio Suria FM iaitu Feeya Iskandar dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam kira-kira pukul 3 petang Jumaat kerana dijangkiti Influenza B.

Feeya atau lebih dikenali sebagai Cik Piah, 29, memberitahu dia mengalami sakit kepala terlampau termasuk hilang selera makan dan demam berpanjangan sejak dua hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Feeya Iskandar Penyampai Baharu Suria FM

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi Kedua Hadir Dalam Keluarga Feeya Iskandar

"Sebenarnya daripada hari Rabu lagi saya sudah demam dan Khamis itu saya terpaksa on air dalam keadaan lemah dan tidak larat. Saya juga hilang selera makan.

"Hari Jumaat saya terus ke hospital dan ditahan di sana. Pada awalnya doktor suspect mungkin denggi kerana simptom lebih kurang.

“Tapi selepas ambil sample hingus, barulah disahkan terkena Influenza B," katanya kepada mStar.


Feeya dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas.

Feeya memberitahu keadaannya kini semakin pulih dan mungkin dibenarkan pulang esok (Ahad).

"Ya, ada yang ingat saya demam denggi.

"Saya tak pasti kalau saya ada berjangkit dengan sesiapa tetapi buat masa ni, saya elak jumpa anak-anak kerana takut mereka akan berjangkit.

"Insyallah, kalau semua ok, esok saya dah dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Terdahulu, Feeya menerusi laman Instagram miliknya ada berkongsi sebuah foto memberitahu mengalami masalah kesihatan selepas mengalami demam berpanjangan.

Berikutan itu, ruangan komen Feeya dihujani dengan komen peminat termasuk rakan selebriti yang mendoakan kesihatannya bertambah baik.

Feeya Iskandar, Influenza B

Artikel Lain