suria

“Cinta sejati bukan berdasarkan duit” - Bakal kahwini usahawan berusia 38 tahun, Intan Najuwa dituduh mata duitan

Intan terima banyak komen mengatakan dia memilih usahawan sebagai pasangan hidupnya disebabkan duit.

BERITA pertunangan pelakon Intan Najuwa dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kedah, Razrul Anwar Rusli, 38, yang berlangsung pada Ahad lalu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di laman sosial.

Rata-rata netizen mengucapkan tahniah atas pertunangan pasangan itu yang diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru namun ada juga segelintir mereka yang beranggapan Intan, 22, memilih usahawan itu disebabkan harta.

ARTIKEL BERKAITAN: Jarak usia 16 tahun, Intan Najuwa bertunang dengan usahawan dari Kedah - “Saya tak pernah berkawan lelaki berusia tapi selepas kenal dia...”

Bagaimanapun, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid menegaskan cinta mereka bukan berdasarkan duit tetapi kehadiran lelaki itu memberikan inspirasi untuk dirinya menjadi lebih baik.

Sikap matang dan memahami membuatkan Intan menerima lamaran kekasihnya.

"Lelaki di sebelah saya, menjadikan diri saya hari ini. Kehadiran dia dalam hidup saya memberikan inspirasi untuk saya menjadi lebih baik setiap hari.

"Dia seorang yang sangat penyayang, memahami dan sentiasa menyokong. Jadi, saya ada terima banyak komen hari ini. Duit? Biar saya beritahu anda, cinta sejati bukan berdasarkan perkara itu.

"Ia berdasarkan hormat, kompromi, penjagaan dan kepercayaan. Jangan pernah menghukum seseorang. Hanya awak @ezurazz, keluarga dan rakan sahaja mengenali saya," kata Intan.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Kekasih Paksa Rela ini mendedahkan perkara itu selepas menerima komen negatif menerusi laman Instagramnya pada Isnin.

Intan belum tetapkan tarikh perkahwinannya.

Intan dan pasangannya mengadakan majlis pertunangan tersebut pada 18 Ogos lalu bersempena tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-22 dan dihadiri keluarga dan rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

Menerusi laporan mStar pada Isnin, Intan memberitahu jarak perbezaan usia 16 tahun tidak menjadi halangan kepadanya untuk memilih pemuda itu sebagai pasangan hidupnya.

Malah menurut pelakon drama Tuan Danial ini, dia menerima lamaran kekasihnya disebabkan sikap matang dan memahami pemuda itu.

Dalam pada itu, Intan memberitahu mereka belum menetapkan sebarang tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan disebabkan jadual kerja yang sangat padat.

Intan Najuwa

Artikel Lain