suria

“Artis perlu jadi contoh yang baik, bukan ingin popular semata-mata” - Alif Satar

Alif berharap golongan artis baharu dapat menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

PENYANYI dan pengacara Alif Satar berpendapat setiap selebriti bertanggungjawab melakukan sesuatu untuk dijadikan inspirasi dan contoh yang baik kepada masyarakat.

Malah Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif bin Mohd Satar, 29, juga berharap golongan artis baharu tidak hanya mengejar populariti semata-mata memandangkan setiap apa yang dilakukan mereka sentiasa menjadi perhatian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah tahun 2019, hentikan lawak body shaming” - Alif Satar akui belum cukup sempurna untuk terima pujian

"Bagi saya, seseorang artis itu sebenarnya ada tanggungjawab untuk menyumbang sesuatu yang baik, bunyi macam nak jadi pemimpin tapi anda perlu menjadi contoh untuk sesiapa saja.

Alif aktif dalam sukan berbasikal dan sentiasa berkongsi aktiviti sihatnya di IG.

"Sebab itu untuk menjadi selebriti datang bersama tanggungjawab. Tak boleh berfikiran hanya sekadar ingin menjadi artis dan tak berminat jadi idola.

"Memang la begitu tapi anda berada di hadapan khalayak umum, jadi anda kena tunjukkan contoh yang baik. Saya harap semua generasi artis baru dapat lakukannya," katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Sesungguhnya ini antara selebriti yang boleh dikatakan tidak pernah terpalit dengan mana-mana kontroversi dan sentiasa memberi aura positif serta inspirasi kepada generasi muda menerusi laman sosialnya.

Alif Satar tiada kontroversi buruk.

Dalam pada itu, pengacara program realiti Big Stage ini mengakui sebelum ini hanya mahu melihat setiap lagunya sentiasa berada di tangga pertama namun kini dia mengubah pemikirannya untuk berasa lebih seronok melakukan setiap kerjanya.

"Sudah 13 tahun dalam industri dan boleh katakan saya ini dah tua. Generasi yang berbeza dengan generasi sekarang sebab itu saya ikut trend masa kini dan buat sesuatu yang boleh dijadikan inspirasi kepada peminat.

"Saya ubah pemikiran saya, kalau dahulu hanya fikir bila lagu nak dapat nombor satu tapi sekarang saya dah tak fikir macam itu. Kini lebih enjoy dengan setiap kerja dan teruja nak explore benda baru," ujarnya.

Alif Satar.

Artikel Lain