suria

“Farid tak marah, tiada salah faham antara kami” - Cat Farish tak terlibat konflik Zul Huzaimy, Farid Kamil

Cat tidak memihak kepada sesiapa apabila berlakunya konflik antara Zul dan Farid.

PENYANYI dan pelakon Cat Farish menjelaskan dia tidak memihak kepada pelakon Zul Huzaimy atau Datuk Farid Kamil apabila timbulnya konflik antara dua selebriti tersebut melibatkan filem Rem-pit 2.

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 45, berkata dia mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua mereka dan enggan mencampuri urusan peribadi dengan kerja.

"Saya tak ada nak memihak kepada sesiapa pun. Sebenarnya saya okey sahaja dengan Zul dan Farid. Malah, saya ada bersama Zul ketika dapat tahu mengenai cerita mereka berdua.

"Zul faham rezeki masing-masing dan Farid pun tahu waktu itu saya ada dengan Zul. Bagi saya, sebagai seorang pelakon, saya hanya perlu buat kerja.

"Profesional saja dan tak ada nak melibatkan urusan peribadi. Kalau ikutkan, saya lagi banyak job (kerja) dengan Farid," kata Cat kepada mStar.


Cat tidak mahu campur aduk urusan peribadi dengan kerja.

Cat ditemui ketika Mini Showcase Projek Amal #PrayForUtusan #PrayForKosmo yang diadakan di Panggung Asia, Setor Gombak, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dia diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir netizen yang mengatakan dia 'hilang' atau cuba melarikan diri daripada Farid disebabkan memihak kepada Zul.

Baru-baru ini, Farid ada memuat naik video di laman Instagram dalam keadaan marah kerana tidak dapat menghubungi Cat dan meminta tolong orang ramai yang menemui penyanyi itu menyampaikan pesanannya.

Farid juga memberitahu Cat ada berhutang lagu yang harus diberikan kepadanya sebelum hari ke-22 penggambaran filem tersebut.

Sebelum ini, Zul mendedahkan telah menarik diri daripada pembikinan filem Remp-It 2 susulan perselisihan antara dia dan pengarah bersama filem sekuel itu.

Cat dan Farid kerap bergaduh di set penggambaran hanya ia tidak menjadi serius.

Dalam pada itu, anggota kumpulan Ruffedge ini mengakui dia dan Farid kerap bergaduh di lokasi penggambaran filem Rem-It 2 yang masih dijalankan.

Bagaimanapun, dia menjelaskan perbalahan yang selalu berlaku itu bukan sesuatu yang serius namun lebih dianggap seperti pergaduhan antara adik-beradik sahaja.

"Sebenarnya saya baru tahu mengenai video tersebut semalam dan saya ada terima mesej daripada rakan-rakan yang menghantar pesanan itu.

"Farid tak marah dan bukan ada berlaku salah faham antara kami. Mungkin dia nak saya beri perhatian kepada lagu untuk filem itu.

"Kalau nak diikutkan saya dan Farid memang selalu bergaduh di set penggambaran. Tapi bukan gaduh yang sampai jadi serius pun. Lebih kepada macam adik-beradik bergaduh saja," ujarnya.

Farid Kamil, Cat Farish, Zul Huzaimi

Artikel Lain