KUMPULAN R&B Ruffedge memberitahu mereka mempunyai perancangan untuk mencari bakat baharu di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sekolah. Bagaimanapun, Cat Farish, 45, berkata misi pencarian itu masih terlalu awal untuk dikongsi berikutan belum membuat perbincangan dengan kesemua anggota kumpulan. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 20 tahun baharulah ada kelab peminat - Ruffedge "Sebenarnya kami ada beberapa perancangan selepas ini dan salah satunya misi mencari vokalis di kolej atau universiti dan kami tidak menghadkan genre muzik R&B semata-mata. Ruffedge sibuk atur strategi untuk keluarkan lagu baharu. "Melihat industri muzik masa kini, semua penyanyi perlu tahu setiap genre. Gerakan tersebut merupakan sumbangan kami terhadap industri muzik. "Tapi masih terlalu awal untuk saya kongsikan mengenai misi itu sebab masing-masing ada idea tersendiri. Setiap perancangan itu perlu dapatkan persetujuan semua anggota," katanya kepada mStar. Ruffedge ditemui di Mini Showcase Projek Amal #PrayForUtusan #PrayForKosmo yang diadakan di Panggung Asia, Setor Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain Cat, kumpulan yang terkenal dengan lagu Tipah Tertipu ini turut dianggotai Azan Addin, Mode Abdullah, Syed Hussein, Amer Munawer dan Zain Hamid. Dalam pada itu, Zain memberitahu mereka kini sedang sibuk menyusun atur strategi dan material terbaik untuk dijadikan single terbaharu. Ruffedge masih kekalkan identiti. Menurut Zain, lagu baharu ini masih mengekalkan identiti mereka namun mengutamakan permintaan pasaran serta bersesuaian dengan peningkatan usia. "Buat masa ini, tidak banyak yang dikongsikan kerana masih dalam peringkat perbincangan namun, kami telah berkumpul di studio menyusun atur strategi dan material terbaik. "Single terbaharu kami akan pastikan sesuai dengan usia yang semakin meningkat, selain mengekalkan identiti Ruffegde tapi pada masa yang sama ia boleh diterima pendengar. "Jika ada rezeki kami mahu mengeluarkan single tersebut pada tahun ini. Jika tidak tahun ini, mungkin tahun depan," ujarnya.