suria

DJ Lin pernah rancang bersara, kemenangan terindah ketika 20 tahun jadi penyampai radio

DJ Lin gembira dengan kemenangannya dalam ABPBH32 tahun ini.

PENYAMPAI rancangan Suria Cinta iaitu DJ Lin, melahirkan rasa syukur kerana berjaya memenangi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH32) pada malam Ahad.

DJ Lin atau Rosalinda Abdul Majid, 43, yang juga penyampai Suria berkata, kemenangan buat kali kedua bagi kategori itu ialah hadiah terindahnya sempena 20 tahun dalam penyiaran radio.

ARTIKEL BERKAITAN: DJ Lin Optomis Kekalkan Kemenangan Penyampai Radio Popular

ARTIKEL BERKAITAN: DJ Lin terlibat kemalangan, kereta dilanggar dari arah bertentangan ketika hujan lebat

“Akhirnya sekali lagi saya mengulangi kejayaan selepas tiga tahun. Saya anggap ini sebagai hadiah terindah sempena 20 tahun saya dalam industri radio.

“Ini hadiah paling manis jadi penyampai radio sepanjang 20 tahun. Saya berasa terlalu lama dan dah banyak susah payah saya lalui.

“Ramai yang kata zaman sekarang ni penyampai lama sudah tak berpeluang untuk ke depan sebab saingan daripada golongan muda.

DJ Lin

“Kemenangan ini sangat-sangat menyentuh hati. Saya tak jangka akan kemenangan ini malah ada beritahu peminat yang saya tak akan menang,” ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu DJ Lin berkata, dia pernah memikirkan hasrat untuk bersara daripada industri radio namun menggalas tanggungjawab besar di stesen radio Suria FM membuatkan dia terpaksa melupakan keinginan itu.

Selain itu, DJ Lin mendedahkan dia juga jarang pulang ke rumah malah tiada masa bersama anak-anak demi tugasnya.

“Sejujurnya saya sudah mula memikirkan tentang bersara dari industri radio sebab tanggungjawab saya sekarang dah semakin besar, ketua stesen radio Suria.

“Saya harus menentukan arah tuju Suria FM daripada pelbagai aspek.

“Saya rasa penat, ada kalanya tak balik ke rumah. Mungkin orang tak tahu mengenai hal ini. Malah, masa dengan anak-anak pun tiada,” ujarnya.

Menerusi kategori ini DJ Lin mengalahkan Haziq (Hot FM), Muaz (Kool FM), Johan dan Radin, kedua-duanya dari Era.

ABPBH32 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Pada 2016 DJ Lin turut melakar sejarah dalam kerjayanya apabila buat pertama kali memenangi kategori berkenaan dalam anugerah tersebut.

Selain menjadi penyampai Suria, beliau juga ialah Pengurus Kanan Saluran, Suria FM.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif, Star Media Group Berhad, Andreas Vogiatzakis mengucapkan tahniah atas kemenangan DJ Lin itu selain menggangap ia sesuatu yang menakjubkan.

DJ Lin, Suria, ABPBH32

Artikel Lain