suria

“Tak kena dekat muka kau, senanglah cakap!” - Jasmin Hamid disuruh bersedekah daripada bayar peguam

Jasmin meluahkan rasa terkilan dengan sikap netizen yang mempersoalkan tindakannya mempertahankan anak perempuannya.

PELAKON Jasmin Hamid meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir netizen yang mempersoalkan tindakannya mengambil tindakan saman ke atas beberapa individu yang menghina anak angkatnya, Rohhana sebelum ini.

Menurut Jasmin, dia disuruh melakukan amal jariah dengan bersedekah kepada golongan memerlukan daripada membayar duit peguam bagi meneruskan saman berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang wanita terpaksa bayar ganti rugi panggil anak Jasmin Hamid bapuk

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya akan sekat dan ambil tindakan!” - Jasmin Hamid beri amaran pada netizen kutuk wajah anaknya macam maknyah

“Orang tanya saya buat apa nak buang-buang duit, lebih baik buat amal jariah, sedekah pada orang memerlukan.

“Kau fikir apa yang aku buat ni bukan amal jariahkah?

“Aku ni membela nasib anak aku yang telah disepak, ‘dibaling najis’ oleh orang-orang yang tak bertanggungjawab. Dah kenapa kau nak suruh aku pergi buat sedekah jariah?” ujarnya kepada mStar.

Individu yang menghina anak perempuannya sebelum ini membuat permohonan maaf secara terbuka.

Jasmin ditemui ketika sidang media Majlis Tayangan Perdana Filem Anak Perjanjian Syaitan di eCurve, Petaling Jaya pada Rabu.

Tambah Jasmin, dia bagaimanapun enggan mengambil pusing apa yang dikatakan netizen itu kerana menganggap ia sebagai perkara tidak relevan untuk dipersoalkan.

“Pada saya percakapan mereka itu tidak relevan langsung dengan apa yang telah terjadi dekat keluarga saya... tak kena dekat muka engkau, senanglah kau cakap.

“Mereka senang cakap suruh saya bersabar tetapi tindakan saya itu bukan bermakna saya sudah hilang sabar, kalau sekali cakap tak jalan, dua kali pun tak jalan, masuk tiga kali saya ambil tindakan undang-undang saja.

Aku ni membela nasib anak aku yang telah disepak, ‘dibaling najis’ oleh orang-orang yang tak bertanggungjawab. Dah kenapa kau nak suruh aku pergi buat sedekah jariah?

JASMIN HAMID

Pelakon

“Apa-apa pun saya berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin oleh pihak peguam. Alhamdulillah, selepas dari kes itu anak saya dalam proses untuk pulih daripada tekanan perasaan sebelum ini,” ujarnya.

Jasmin sebelum ini memfailkan saman terhadap tiga individu yang didakwa membuat komen menghina anak angkatnya dikenali sebagai Rohanna dengan menyamakan wajah anaknya itu seperti bapuk.

Menerusi tuntutan itu, Jasmin antara lain menuntut individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu sidang media serta secara lisan di akhbar dan menarik semula tohmahan yang dilemparkan terhadap Rohhana.

Menurut peguamnya, Nasser Yusof, masalah itu berjaya diselesaikan diluar mahkamah dengan syarat dan terma tertentu selepas saman sivil dikeluarkan individu terbabit.

Artikel Lain