PENYANYI Nora Ariffin sekali lagi diuji apabila kehilangan anak keduanya, Alif yang meninggal dunia pada pagi Sabtu. Nora menerusi laman Instagram miliknya memaklumkan anaknya itu menghembuskan nafas terakhir sewaktu berada di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor. ARTIKEL BERKAITAN: Suami Nora, Johan Nawawi Meninggal Dunia ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu tak terkata… dia tak pernah mati” - Nora Ariffin Kongsi Nora Ariffin menerusi posting yang dimuat naiknya di Instagram. “Allah uji saya lagi, anak saya Alif Johan baru sahaja hembuskan nafas terakhir pada pagi tadi di rumah saya, akan dikebumikan secepat mungkin,” katanya. Sementara itu, mStar sewaktu menghubungi pembantu peribadi Nora, Jaja berkata, Nora mendapat panggilan daripada pembantu rumah yang memaklumkan berita sedih itu ketika di majlis perkahwinan kenalannya di Singapura. “Aliff pengsan semasa berada di rumah. Pembantu rumah call beritahu Alif tiba-tiba tak sedarkan diri. “Saya belum dapat nak beritahu lebih terperinci kerana sedang memandu untuk ke hospital PPUM. “Sebarang maklumat akan saya maklumkan sebentar lagi,” ujarnya. Jaja memaklumkan jenazah kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bedah siasat bagi mengetahui punca sebanar kematian Alif akan dijalankan pada pagi Ahad. Jenazah seterusnya akan dibawa ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Allahyarham Alif atau nama sebenarnya Muhammad Syakir Alif Johan Nawawi, 20, pernah menyertai sebuah pertandingan realiti anjuran sebuah stesen televisyen. Nora sebelum ini kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.