suria

Siti kekal! Zizan atasi Neelofa... ini 10 selebriti Malaysia miliki ‘followers’ teramai di Instagram sepanjang 2019

Siti, Zizan dan Neelofa tiga selebriti miliki pengikut teramai di Instagram, tahun ini.

TIDAK dinafikan media sosial memainkan peranan penting dalam mendekatkan hubungan selebriti dan peminat.

Melalui media sosial seperti Instagram dan Facebook, peminat dapat mengetahui apa sahaja aktiviti selebriti kesayangan mereka hanya melalui skrin di telefon bimbit. 

Bagaimanapun, kebelakangan ini jumlah follower atau pengikut itu turut dijadikan kayu ukur dalam menentukan tahap populariti seseorang selebriti.

Jika tinggi jumlah follower bererti semakin popular selebriti itu!

Kali ini mStar sediakan 10 selebriti Malaysia yang memiliki jumlah follower terbanyak di Instagram bagi tahun 2019.

1. Datuk Seri Siti Nurhaliza (6.9 juta)


Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selesa menduduki tangga pertama selebriti yang memiliki pengikut paling ramai di Instagram. Populariti yang dimiliki oleh Siti Nurhaliza tidak boleh disangkal lagi apabila dia turut mengumpul peminat dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Lebih-lebih lagi selepas kehadiran cahaya mata, Siti Aafiyah membuatkan peminat tidak keberatan untuk mengikuti laman sosial Siti Nurhaliza bagi melihat aktiviti puteri sulungnya itu.

2. Zizan Razak (6.8 juta)


Karakter dan gelagat bersahaja pelakon dan pelawak Zizan Razak di Instagram menjadi faktor jumlah pengikutnya terus bertambah. 

Zizan berkata sokongan pengikutnya di Instagram membuatkan dia lebih bersemangat untuk bekerja dan menghiburkan mereka.

"Saya berasa sangat bangga kerana memiliki follower yang cukup hebat macam anda semua, saya menjadi lebih bersemangat dalam kerjaya saya, membuatkan saya ingin bekerja lebih bagus dan bagus," katanya.

3. Neelofa (6.7 juta)


Apa sahaja yang dilakukan Neelofa pasti mendapat perhatian ramai dan segala perkongsiannya di laman sosial turut menjadi perbualan netizen.

Memiliki follower seramai 6.7 juta, Neelofa terus mengukuhkan namanya sebagai selebriti dan usahawan berjaya. Awal tahun ini, menerusi laporan sebuah akhbar, Neelofa menduduki tangga kedua.

4. Nora Danish (6.4 juta)


Nora Danish pernah menduduki tangga pertama jumlah pengikut teramai di Instagram beberapa tahun lalu, namun tahun ini dia hanya selesa di tangga keempat.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama sitkom Puteri ini merupakan antara selebriti yang kerap berkongsi kehidupan peribadinya di Instagram.

Nora kini sedang berbahagia dengan suami tersayang Nedim Nazri dan dua cahaya mata Putra Rayqal dan Mohamed Neqayl.

5. Mira Filzah (5.7 juta)


Pelakon drama Adellea Sofea ini memiliki pengikut seramai 5.7 juta. Selain bergelar pelakon, Mira juga merupakan seorang usahawan dengan mengeluarkan produk kecantikan dan tudung.

Bercakap mengenai laman sosial, Mira sebelum ini mengakui pernah menyekat pengikut yang memberikan komen negatif di akaun Instagram miliknya.

6. Janna Nick (5.3 juta)


Pelakon cantik berusia 24 tahun ini mula mencipta nama menerusi drama Syurga Nur. Janna merupakan antara selebriti yang kerap terpalit dengan kontroversi di laman sosial.

Antaranya mengenai isu pakaian, bagaimanapun Janna tidak mudah melatah dan menganggap ia sebagai proses pembelajaran sebagai seorang selebriti.

Sebut fasal cinta... Janna kini sedang bahagia dengan aktor baharu berdarah kacukan Melayu- Switzeland, Dini Azan Schatzmann. 

7. Hanis Zalikha (5.3 juta)


Isteri kepada pelakon Hairul Azreen ini kerap berkongsi tip untuk ibu-ibu di Instagram miliknya.

Hanis yang mula dikenali sebagai seorang model dan penulis blog berkahwin dengan Hairul pada tahun 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

8. Scha Alyahya (5.1 juta)


Scha Alyahya merupakan seorang pelakon dan pengacara yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.

Nama Scha mula menjadi sebutan ramai menerusi watak lakonannya sebagai Dania dalam siri drama Awan Dania (2008-2010) sekaligus melancarkan kerjayanya sebagai pelakon.

Scha berkahwin dengan pelakon dan pengacara Awal Ashaari pada tahun 2012 dan memiliki seorang anak bernama Lara Alana berusia lima tahun.

Selain Scha, akaun Instagram suaminya iaitu Awal memiliki seramai 4.4 juta pengikut dan Lara (3.8 juta).

9. Amyra Rosli (5 juta)


Pelakon Amyra Rosli berterima kasih kepada peminat dan pengikutnya di Instagram setelah meraih meraih lima juta pengikut di akaun Instagram pada November lalu.

Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli berkongsi pengumuman itu di laman tersebut dan memut naik foto bersama suaminya, Amar Baharin.

"Alhamdulillah capai 5 juta pengikut. Thank you for following me, love you guys," tulis Amyra sebagai kapsyen. 

10. Nur Fazura (4.9 juta)


Sebelum ini menerusi satu temubual Fazura mengakui berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mahu kehidupan peribadinya menjadi bahan bualan di media sosial.

Justeru itu, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini lebih kerap berkongsi mengenai karier di laman sosialnya.

Artikel Lain