suria

“Sibuk kerja bukan alasan tutup pintu hati” - Sufian Suhaimi belum jumpa pengganti yang sesuai

Sufian sudah mempunyai banyak perancangan untuk tahun 2020.

BIARPUN sudah mempunyai banyak perancangan untuk karier seni, penyanyi Sufian Suhaimi berkata ia bukan alasan yang dicipta bagi menghalang diri daripada kembali bercinta.

Namun menurut Sufian, 28, dia enggan terburu-buru mencari cinta selain menyerahkan kepada takdir.

ARTIKEL BERKAITAN: Sufian Suhaimi bercinta dengan gadis 16 tahun? “Sebenarnya saya masih 'insecure' nak bercinta lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang itu pun dah nak ada baby” - Sufian Suhaimi beri pengajaran kepada netizen, harap berhenti ungkit kisah dengan Elfira Loy

"Kalau nak ikutkan, untuk permulaan tahun ini saya memang ada banyak perancangan untuk kerjaya seni tapi ia bukan alasan untuk saya tutup pintu hati.

Sufian tidak terburu-buru mencari cinta.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk bercinta sebab sekarang pun belum ada kekasih atau calon yang sesuai.

"Bagi saya kalau ada jodoh, saya terima saja. Apa-apa pun kita tengok dahulu macam mana perjalanan saya untuk tahun 2020," kata Sufian kepada mStar.

Sufian pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Elfira Loy pada 6 Oktober 2017 namun hubungan itu berakhir pada 19 Februari 2018.

Pada Februari tahun lalu, penyanyi lagu Mencuba ini dikatakan sudah mempunyai kekasih baru apabila foto lelaki miripnya bermesra dengan seorang wanita tersebar.

Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk nak mencari cinta.

SUFIAN SUHAIMI

PENYANYI

Bagaimanapun Sufian menafikan individu tersebut adalah dirinya dan menganggap ada ramai lelaki yang mempunyai wajah seirasnya.

Sufian juga pernah di gosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan Jasmine Suraya Chin selepas membuat kejutan menghadiri majlis perhargaan peminat aktres tersebut.

Dalam pada itu, Sufian meluahkan rasa teruja untuk berkongsi perancangan bagi tahun 2020 termasuklah menceburi bidang perniagaan produk bayi.

Menurut Sufian, idea untuk menceburi bidang perniagaan itu timbul selepas menerima kehadiran anak angkat iaitu Faeq Razeeq dalam pada tahun lalu.

Kehidupan Sufian terisi dengan kehadiran anak angkat, Faeq.

"Alhamdulillah 2019 adalah tahun yang besar untuk saya dan lagu Dimatamu memberi penyumbang untuk karier seni saya.

"Ada banyak benda saya belajar pada tahun lalu dan tak sabar nak kongsi perancangan untuk 2020. Selain ada beberapa lagu, saya juga nak kembangkan kerjaya dalam bidang perniagaan produk bayi.

"Bukan baju tapi sesuatu kelainan yang tidak pernah ada di Malaysia. Perniagaan ini pun salah satu idea yang saya dapat selepas adanya Faeq dalam hidup saya," ujarnya.

Sufian mengambil anak angkat pada 11 September tahun lalu.

Artikel Lain